Friday, May 31, 2013

Dua Naib Presiden Umno Sokong Rancangan Penstrukturan Sem ula Parti

KUALA LUMPUR 31 Mei - Dua Naib Presiden UMNO menyambut baik rancangan penstrukturan parti itu menerusi penubuhan beberapa jawatankuasa baharu bagi memastikannya terus relevan pada masa akan datang.
Naib Presiden Umno,Zagid Hamidi

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan jawatankuasa yang bersifat kekal itu perlu diberikan penekanan supaya parti tersebut terus menjadi pilihan rakyat pelbagai peringkat usia.

Katanya, antara jawatankuasa yang bakal ditubuhkan meliputi jawatankuasa penerangan, penyelidikan dan latihan serta multimedia dan media sosial. "Pada 2017 dan 2018, dijangkakan hampir 2.5 juta rakyat adalah dalam kalangan pengundi baharu dan parti harus berusaha mendekati kumpulan tersebut.

 "Ini merupakan tumpuan baharu parti dan jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan akan digarap untuk menjadikan UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang memberi tumpuan kepada pengundi baru itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Naib Presiden Umno,Mohd Shafie Apdal
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut menyambut baik keputusan penstrukturan dan penubuhan beberapa jawatankuasa bagi mengemaskini serta menambah baik prestasi UMNO agar kekal menjadi landasan orang Melayu.

Katanya, UMNO akan melihat serta berfikir secara positif segala keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan sedang merangka semula strategi bagi persedian menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna yakin prestasi UMNO cukup baik daripada parti-parti lain dalam keputusan pilihan raya umum lalu dengan penambahan sembilan kerusi yang dimenangi UMNO.

"Pada masa ini UMNO terbukti cukup kuat dan masyarakat Melayu masih menyokong kita kerana kita sentiasa memperjuangkan hak mereka.

"Kita tidak perlu risau atau terganggu apabila gagal memperoleh keputusan dua pertiga majoriti. Apa yang penting, prestasi UMNO sebagai landasan orang Melayu cukup baik," katanya.(Utusan online-politik).

No comments: