Friday, May 31, 2013

Parti Tunggal : Perbincangan,Tinjauan Dilakukan

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sebarang perubahan terhadap UMNO ekoran cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal perlu diperhalusi dengan mendalam bagi mengelak penolakan khususnya dalam kalangan ahli UMNO terhadap parti Melayu terbesar itu.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melihat sebarang perubahan itu perlu berdasarkan pada penerimaan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Menurut beliau, UMNO akan mengadakan perbincangan di peringkat makmal selain membuat tinjauan dengan ahli-ahli parti bagi mencari kata putus berhubung cadangan berkenaan.

''Hari ini Majlis Tertinggi UMNO berbincang tetapi ini di peringkat membayangkan pelbagai kemungkinan tetapi kita perlu mengadakan perbincangan di peringkat makmal selepas ini dan kita perlu juga buat tinjauan dengan ahli-ahli UMNO.

''Kita faham UMNO adalah parti yang begitu dekat di hati dan disayangi oleh ahli parti. Jadi sebarang perubahan kepada UMNO perlu diperhalusi dengan mendalam supaya tidak timbul penolakan ahli-ahli parti yang begitu setia kepada parti selama ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga Naib Presiden, Ketua-ketua sayap serta ahli-ahli MT itu merupakan mesyuarat MT kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Najib sebelum itu mengulas cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Walau bagaimanapun, perkara itu mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mengulas lanjut, Najib berkata, sebarang pertimbangan mengenai cadangan berkenaan akan diserahkan kepada peringkat makmal terlebih dahulu sebelum diadakan tinjauan dalam kalangan ahli parti.

''Bukan sahaja cadangan itu tetapi cadangan-cadangan lain juga akan kita bincangkan dengan ahli UMNO bagi menentukan hala tuju yang terbaik untuk parti kita,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, BN akan mengemukakan lebih 50 petisyen untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 terutama di 37 buah kawasan berkaitan kelayakan calon pembangkang iaitu sama ada mereka meletakkan calon mengikut peraturan atau sebaliknya.

Beliau turut menjelaskan, Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO telah menerima 99 kes aduan berkaitan sabotaj parti sepanjang pilihan raya umum lalu.

''Kes-kes ini akan ditentukan keputusannya oleh Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin parti. ''Sementara itu, sebanyak 192 ahli UMNO didapati telah bertanding sebagai calon Bebas dan menyertai pembangkang sepanjang pilihan raya umum lalu dan mereka dipecat berdasarkan pada keputusan dasar parti,'' tambahnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 120 hrs on JUNE 01,2013.

No comments: