Tuesday, May 28, 2013

Lagi Desakan Bertindak Terhadap Red Bean Army

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera bertindak menghalang pasukan tentera siber DAP, Red Bean Army daripada terus menyebar fitnah.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, ini bukan lagi masa untuk bertoleransi dengan sebuah kumpulan yang sering menabur fitnah memburukkan kerajaan menerusi laman maya.

Katanya, perbuatan kumpulan berkenaan menabur fitnah boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah siber yang bertujuan 'menghasut' serta mewujudkan gelombang kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.

"Kita tengok kerajaan China, mereka lebih agresif membendung perkara seperti ini apabila terus 'mengharamkan' penggunaan laman sosial seperti Facebook dan blog kerana didapati boleh membawa impak negatif kepada pemikiran rakyat serta keharmonian negara.

"Di negara kita yang mengamalkan dasar keterbukaan tidak 'sekejam' itu. Negara kita amalkan demokrasi, sesiapa sahaja bebas bersuara tetapi mestilah dengan bukti serta fakta, bukannya semata-mata fitnah seperti dilakukan oleh Red Bean Army," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kecaman serta penghinaan berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak berjaya memperoleh 'kuasa' di Putrajaya.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula memberitahu, kerajaan mesti tegas dengan kumpulan berkenaan memandangkan mereka cuba mempromosikan trend amalan media sosial yang negatif.

Katanya, kumpulan seumpama itu sekiranya dibiarkan lebih lama dikhuatiri akan mengancam kestabilan dan keharmonian negara, selain boleh menyebabkan berlakunya huru-hara.

"Sebenarnya saya agak kecewa kerana belum ada lagi tindakan tegas yang diambil terhadap kumpulan penyebar fitnah ini.

Tiada tindak balas segera daripada SKMM dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kumpulan ini menyebabkan mereka semakin galak menabur fitnah.

"Kita ada peruntukan undang-undang dan akta yang sesuai untuk membendung perbuatan fitnah menerusi alam siber ini daripada terus berleluasa. Kita kena menggunakannya, kerajaan perlu tegas," jelasnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 1357 hrs on Mei 29,2013.


No comments: