Tuesday, May 28, 2013

PAS KELANTAN TOLAK ARAB SPRING

KOTA BHARU 28 Mei - Pas Kelantan senada dengan beberapa pemimpin utama parti itu menolak sebarang usaha yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan dengan cara kekerasan dan melalui demonstrasi jalanan.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya menyedari bahawa menurunkan kerajaan dengan menggunakan kaedah 'Arab Spring' tidak memberikan sebarang faedah malah ia akan menghancurkan negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pendirian tersebut adalah selari dengan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menjelaskan perkara tersebut lebih awal lagi.

 "Kita tidak bersetuju dengan cara 'Arab Spring' turun ke jalan raya dan menggunakan kekerasan kerana ia tidak sesuai dengan negara ini malah ia akan memberikan banyak keburukan kepada negara.

"Kita boleh tunggu tiga tahun lagi kerana kita menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi, tidak ada masalah, kita menyokong penuh demokrasi dan pertukaran kerajaan perlu dilakukan melalui proses demokrasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siri perhimpunan haram yang diadakan oleh pakatan pembangkang dan diketuai oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 berakhir kira-kira tiga minggu lalu.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din turut menolak perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang sekiranya didapati boleh membawa masalah, kemusnahan serta mencetuskan huru-hara kepada negara.

Mohd. Amar bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) berhubung PRU-13 lalu.

"Masalah penyelewengan dan salah laku, kita memang bersama tidak bersetuju dan menentang kelemahan SPR, ini adalah pendirian kita bersama (dalam pakatan pembangkang).

"Di sini ada dua isu, isu apakah kita patut turun ke jalan raya adalah isu yang berbeza. Pendirian Pas Pusat pun tidak bersetuju kalau menjatuhkan kerajaan kekerasan dan melanggar undang-undang, pendirian DAP pun sama dalam isu ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk memfailkan petisyen pilihan raya sekurang-kurangnya di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Lanas, Kok Lanas, Selising dan Dabong.

"Secara umumnya kita akan melihat kepada kawasan yang kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh seperti membeli undi bagi membuat petisyen pilihan raya.

"Minggu depan akan ada mesyuarat politik Pas Kelantan, kita akan lihat bagaimana keadaannya selepas mendapat nasihat daripada peguam dan dirujuk kepada Pas Pusat," katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 1345 hrs on Mei 29,2013.


No comments: