Thursday, May 30, 2013

Saifuddin Bakal Pegawai Perhubungan Politik Pejabat MB

SHAH ALAM 30 Mei - Pas Selangor menuntut kerajaan negeri mewujudkan satu portfolio setara dengan jawatan Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar yang dikatakan bakal disandang oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, untuk wakil parti itu dan DAP.

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman berkata, tuntutan itu dibuat sebagai penambahbaikan yang sepatutnya dilakukan oleh pakatan pembangkang memandangkan kemenangan mereka di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan kerana jasa satu parti sahaja.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru turut menegur keputusan untuk melantik Saifuddin yang jika benar berlaku, tidak dilakukan dalam mesyuarat bersama pakatan pembangkang.

"Kita berharap supaya ketiga-tiga parti terlibat dalam membuat keputusan untuk pelantikan jawatan tersebut kerana kemenangan pakatan pembangkang di Selangor adalah kemenangan semua, bukan satu parti sahaja.

"Bagaimanapun, kita akan setuju dengan pelantikan Saifuddin jika ia benar berlaku dengan syarat penambahbaikan dilakukan iaitu wakil Pas dan DAP turut diberikan jawatan yang setara," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa Saifuddin bakal dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat MB yang mencetuskan rasa kurang senang Pas apabila turut menuntut penglibatan dalam memantau urusan harian negeri itu.

Perkara itu disuarakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Iskandar Abdul Samad yang mahu seorang Naib Presiden Pas ditugaskan untuk urusan pemantauan berkenaan.

Menurut beliau, hal itu kerana ahli-ahli Pas telah bekerja keras untuk mengukuh dan mengembangkan pengaruh parti itu di Selangor dan sudah tentu mereka mengharapkan lebih perhatian daripada pimpinan tertinggi parti.

Oleh yang demikian, beliau juga mahu ahli dan pimpinan Pas di seluruh negara menganggap Selangor sebagai sebuah 'negeri Pas' seperti tanggapan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Berdasarkan laporan laman web media kerajaan negeri, www.selangorku.com, Saifuddin yang tewas kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dalam pilihan raya umum lalu, akan dilantik ke jawatan tersebut.

Menurut laporan itu, perkara tersebut diumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan kongres kesembilan parti itu pada 25 Mei lalu di Petaling Jaya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya at 10.23 am on Mei 31,2013.

No comments: