KUALA LUMPUR -14 Julai Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, yang mempersenda Ramadan dan menyebabkan kemarahan umat Islam kerana memuat naik gambar bak kut teh (sup babi) di laman Facebook mereka, dijangka memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) esok.
Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan kedua-dua individu itu telah dipanggil untuk merakamkan kenyataan mereka dan membantu siasatan mengenai kes tersebut.
"Kami telah memanggil pasangan tersebut.
Mereka dijangka hadir di pejabat penguatkuasaan SKMM esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasangan itu memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedang menikmati makanan yang tidak halal dengan kata-kata 'Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh... Wangi, enak dan menyelerakan!' dan disertakan logo halal.
Hari ini, satu lagi akaun Facebook memuat naik status yang mempersenda Ramadan dengan menampilkan iklan berbuka puasa dengan babi panggang yang turut diletakkan logo halal.
Mengenai kes terbaru iklan babi panggang itu, Mohamed Sharil berkata, pemilik akaun tersebut bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.
"Kami telah melaporkan perkara ini kepada Facebook dan meminta mereka menyekat laman berkenaan atau memadam akaun itu," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi SKMM itu juga menasihati orang ramai supaya segera melaporkan kepada Facebook melalui 'onboard tab', jika mereka menemui mana-mana paparan yang menghina kesucian Islam.
Pengguna Facebook juga dinasihatkan untuk tidak berkongsi (share) paparan atau foto yang menyinggung perasaan untuk mengelakkan ia daripada tersebar dan melukakan perasaan orang lain.
"Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita menghormati bulan Ramadan dan rakan-rakan kita yang beragama Islam. Kita perlu sentiasa bertanggungjawab ke atas semua tindakan kita dalam talian serta lebih peka terhadap sensitiviti orang lain terutama mengenai isu-isu agama.
"Sila berhenti dan berfikir sejenak sebelum kita berkongsi apa-apa maklumat di dalam talian," katanya. - (UTUSAN ONLINE-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 2321 hrs on July 14,2013.
No comments:
Post a Comment