Wednesday, July 24, 2013

Bayi diraja Britain dipertonton kepada umum

 Duchess of Cambridge, Kate Middleton dan suaminya, Putera William membawa keluar bayi mereka untuk dipertontonkan kepada umum di Hospital St Mary di tengah London, kelmarin. - REUTERS 

LONDON 24 Julai - Putera William dan isteri, Kate Middleton buat pertama kalinya semalam mempamerkan bayi mereka kepada dunia apabila memangku bakal raja itu sebelum meninggalkan Hospital St Mary di tengah London, untuk pulang ke Istana Kensington.

Middleton berkata kepada barisan media antarabangsa yang hadir, menjadi seorang ibu 'begitu emosi', manakala William berkata, mereka masih memilih nama dan bergurau bahawa beliau sudah mula menukar lampin bayi.

 "Ia adalah masa yang begitu istimewa, saya fikir mana-mana ibu bapa baharu akan tahu bagaimana perasaan ini,'' kata Duchess of Cambridge itu. William berkata kepada pemberita 'bayi mereka kelihatan seperti isterinya' dan Middleton secara bergurau menambah 'dia kuat menangis, itu yang pasti'.

Bayi diraja itu dilahirkan pada pukul 4.24 petang Isnin lalu dan mencetuskan kegilaan dalam kalangan media antarabangsa didorong oleh daya tarikan pasangan itu sejak mereka mula berkahwin pada April 2011. 

Letupan meriam di Menara London dan Green Park mengiringi sambutan kelahiran bayi tersebut, manakala loceng Westminster Abbey turut dibunyikan selama tiga jam.

 "Kami masih lagi berusaha untuk mencari nama yang sesuai dan akan mendapatkannya dalam tempoh masa terdekat,'' kata William.

Selepas bercakap secara ringkas kepada media, pasangan diraja itu kembali semula ke dalam hospital sebelum pulang ke Istana Kensington, lokasi adik Middleton, Pippa sedang menunggu.

Ibu bapa kepada Duchess of Cambridge itu iaitu Michael dan Carole Middleton menjadi pelawat pertama pasangan tersebut, diikuti Putera Charles sekitar dua jam kemudian dengan isterinya, Camilla. - AFP( Utusan online-Luar Negara).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 9.57 am on July 25,2013.

No comments: