Wednesday, July 24, 2013

Kemenangan BN manifestasi kepercayaan rakyat

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,calon BN dijulang tinggi oleh penyokong-penyokongnya selepas SPR mengumumkan kemenangannya dengan majoriti yang tinggi.
KUALA BESUT 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut merupakan manifestasi sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat terhadap segala usaha yang dirancang dan dilaksana kerajaan BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan itu menjadi lebih menarik apabila BN menerusi calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman menang di semua lapan pusat daerah mengundi, termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dikuasai PAS pada pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata, walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah tetapi pendekatan 'man-to-man marking' yang dilaksanakan sepanjang kempen memberi impak begitu positif dalam jumlah undi yang diraih. 

"Walaupun kempen kita lebih tertumpu pada waktu malam melalui majlis berbuka puasa, tarawih dan moreh tetapi sentuhan berhemah tanpa menyerang peribadi lawan itu nyata memberi impak kepada pengundi. 

"Selain itu, inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua masalah penduduk juga memberi kesan yang mendalam kepada keyakinan pengundi terhadap calon dan kerajaan BN," katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya itu di dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh dekat sini hari ini. 

Sementara itu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berikrar untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin. Katanya, perkara pertama yang akan diberi tumpuan adalah untuk meneruskan apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar.

 ''Saya akan kenal pasti apa yang belum diselesaikan dan tugas yang ditinggalkan untuk saya teruskan," ujarnya sambil mengucapkan rasa syukur.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, Pas akur dengan kekalahan parti itu dalam pilihan raya tersebut dan mengakui jentera BN lebih baik.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 5.11 am on July 25,2013.

No comments: