Sunday, July 28, 2013

Kapal terbesar dunia Maersk Line berlabuh di PTP

 GELANG PATAH 28 Julai - Maersk Mc-Kinney Moller, kapal kontena terbesar dan kapal kelas Tiga-E pertama dunia, membuat pelabuhan pertamanya di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini.

Kapal tersebut adalah satu daripada 20 yang ditempah oleh Maersk Line daripada Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering dari Korea Selatan selepas pemeteraian kontrak AS$1.9 bilion pada Februari 2011.

Kapal Tiga E (EEE - skala ekonomi, cekap tenaga dan mesra alam) mempunyai kapasiti 18,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU). Kapal itu, bernilai US$190 juta, berukuran 400 meter panjang, 59 meter lebar dan 73 meter tinggi.

Ia digunakan untuk perkhidmatan AE-10 (Asia-Eropah) Maersk Line. Pengurus Negara Maersk Line untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Bjarne Foldager berkata, syarikat itu teruja melihat ketibaan pertama kapal itu. Beliau berkata empat lagi kapal Tiga E akan dihantar tahun ini pada 2014 dan 2015.

"Selain memberikan skala ekonomi berikutan saiznya, kapal Tiga E adalah kapal paling cekap tenaga di dunia," katanya pasa satu sidang media hari ini.

Ketua pegawai eksekutif PTP, Glen Hilton, berkata ketibaan Maersk Mc-Kinney Moller adalah satu berita gembira buat pelabuhan itu.

"PTP mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kapal Tiga E dan sedang melabur dalam prasarana dan peralatan baharu yang direka cipta khas untuk generasi kapal kontena baharu 18,000 TEU dan lebih," katanya.

Pada persinggahan pertamanya di PTP, Maersk Mc-Kinney Moller dimuatkan 4,800 TEU. Kapal itu akan meninggalkan PTP pada tengah hari esok untuk ke Eropah Utara melalui Terusan Suez, dengan Rotterdam sebagai pelabuhan Eropah pertama yang akan disinggahinya. - BERNAMA (Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya/ Bakar Ningal,blogspot.com at 224 hrs on July 28,2013.

No comments: