Wednesday, July 17, 2013
Mampukah Raja Ema raih populariti?
Raja Ema memilih untuk berduet dengan RJ kerana merasakan suara pemuda itu sesuai dengan dirinya.
KALI terakhir Raja Ema merakam suara adalah 24 tahun lalu. Kini tanpa kecoh, dia tampil melancarkan single Warna Hatiku.
Ramai yang tertanya-tanya, mampukah penyanyi yang popular dengan lagu Jejaka Idaman itu mengekalkan momentum sebagai penyanyi dalam usia yang sudah memasuki 45 tahun?
Dia yang kali terakhir muncul dengan album Tidakkah Aku Menyintaimu itu tidak seperti penyanyi lain yang aktif menyanyi di persembahan makan malam atau pentas walaupun tanpa album baru.
Selama ini Raja Ema lebih menumpukan perhatian pada rumah tangga dan melupakan bidang seni seratus peratus.
"Saya berasa tidak salah sekiranya saya mahu kembali aktif dalam bidang seni yang pernah diceburi suatu ketika dahulu," katanya yang bekerjasama dengan penyanyi rap, Mohd. Helmy Hamdan atau RJ untuk single tersebut.
Single tersebut dimuatkan dalam album kompilasi Pertemuan Seribu Kenangan yang turut memuatkan lagu-lagu popularnya seperti Jejaka Idaman, Mentari Korea, Angan-Angan,
Sebuah Catatan Remaja dan Jawapan Pasti. Selain menghasilkan single, Raja Ema yang mula menceburi dunia lakonan pada tahun 1987 dalam filem Sayang dan Mawar Merah, turut menyemarakkan semula bakat lakonannya menerusi drama bersiri Terlanjur Cinta.
Sebelum ini dia muncul selepas 15 tahun tidak berlakon dalam drama bersiri Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, arahan Mazri Mustafa.
Menyedari tindakannya untuk kembali aktif masa kini lebih mencabar berbanding di awal pembabitan, Raja Ema telah melakukan sesuatu pada wajahnya.
Ibu kepada Putera Ammar, 18, dan Putera Alkashah, 16, itu berkata, demi memastikan kerjayanya berjalan lancar, dia telah melakukan proses rawatan penegangan kulit di bahagian muka.
"Memang saya ada menjalani rawatan kecantikan di bahagian muka. Tetapi bukanlah sehingga melakukan sebarang suntikan, cukup sekadar proses penegangan kulit atau thread lift.
"Proses yang saya lakukan ini tidak kerap kerana dapat bertahan sehingga kira-kira dua tahun, sebelum perlu mengulangi proses yang sama," katanya kepada Hits.
Selesa solo Mungkin ada yang tidak tahu sebenarnya selepas bercerai dengan Sheqal pada 2009 selepas bernikah pada 2 Mei 1993, Raja Ema telah berkahwin lain, namun kini kembali solo.
Bukan tidak menyimpan hasrat untuk kembali bergelar isteri, tetapi menurutnya dia tidak punya perancangan untuk ke arah itu selain daripada berserah kepada takdir.
"Saya tidak anti kepada perkahwinan, cuma buat masa ini saya mahu fokus kepada membesarkan dua anak selain daripada kembali fokus dalam karier seni.
"Sekiranya ada jodoh saya selepas ini apa salahnya, tetapi sekiranya tidak ada pun tidak mengapa kerana saya sudah melalui alam rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini," katanya yang menolak untuk berpakaian seksi berlebihan walaupun mahu kelihatan muda.
Jelasnya lagi, anak lelakinya juga tidak pernah bertanyakan atau mendesak Raja Ema untuk kembali mendirikan rumah tangga. Ini kerana mereka menganggap ibu mereka itu kelihatan lebih gembira pada masa sekarang, berbanding ketika bergelar isteri orang.(Utusan online- Hiburan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot., at 1957 hrs on July 17,2013.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment