Wednesday, July 17, 2013

Pelajar IPT dakwa dirogol teman lelaki

Oleh ROKIAH ABDULLAH 

KUALA KANGSAR 17 Julai - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini mendakwa dirogol teman lelakinya selepas keluar bersiar-siar di sekitar pekan di sini, Jumaat lalu. 

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang berusia 48 tahun dikatakan mengajak mangsa berhenti di sebuah rumah kosong sebelum melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad, mangsa yang berusia 20 tahun bersetuju untuk keluar dengan suspek setelah lelaki tersebut menghubunginya dan mengajaknya bersiar-siar.

"Suspek membawa mangsa keluar berjalan-jalan di pekan sebelum mereka tiba di sebuah rumah kosong. Malangnya mangsa tidak tahu lokasi rumah berkenaan.

"Lelaki tersebut kemudian mengajak mangsa melakukan hubungan seks. Dalam keadaan terpaksa gadis itu telah melakukan hubungan seks dengan suspek," katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Gaffar, selepas melakukan perbuatan berkenaan, suspek menghantar mangsa pulang ke rumahnya. Katanya, mangsa kemudian membuat laporan mendakwa dia dirogol, di Ibu Pejabat Polis Daerah ini pada Ahad lalu.

"Suspek yang merupakan kakitangan IPT berkenaan menyerah diri di IPD Kuala Kangsar pada hari sama mangsa membuat laporan polis," katanya.

Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat. - UTUSAN ONLINE-JENAYAH ( Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1914 hrs on July 17,2013.

No comments: