Rita Rudaini beritahu mahkamah suami beri nafkah RM2,000 sebulan
Rita Rudaini Mokhtar ketika hadir dalam prosiding perbicaraan kes tuntutan nafkah untuk dua anak daripada Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, Selangor, semalam.
PETALING JAYA 17 Julai - Pelakon Rita Rudaini memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, suaminya Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak ada memberi nafkah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan kepadanya selepas dia memfailkan tuntutan nafkah diri dan anak, November tahun lalu.
Rita atau nama penuhnya, Rita Rudaini Mokhtar, 37, menyatakan, dia ada menggunakan wang tersebut untuk kegunaan dua anak lelakinya namun berkata jumlah itu tidak mencukupi.
Dia menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Mohd. Aidil, 25, yang juga pemain bola sepak kebangsaan dalam perbicaraan tuntutan nafkah dan anak terhadap suaminya itu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abu Samah.
Roshdan seterusnya turut mengemukakan slip pembayaran RM3,000 dan RM2,000 masing-masing bagi bulan Jun dan Julai 2012 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik Rita oleh anak guamnya dan saksi itu mengesahkannya.
Menurut Rita, kadangkala dia tidak perasan sekiranya Mohd. Aidil ada memasukkan wang ke dalam akaun jika suaminya tidak memaklumkan kepadanya.
''Saya tidak perasan duit yang dia masukkan itu, kadang-kadang dia beritahu saya dia masukkan duit, kadang-kadang tidak beritahu langsung.
''Akaun Maybank saya juga banyak duit lain yang masuk termasuk duit bayaran penggambaran drama,'' ujar Rita.
T
Terdahulu, Roshdan mencadangkan kepada Rita, keterangannya bahawa Mohd. Aidil langsung tidak memberi nafkah kepadanya dan anak-anak, adalah tidak benar dan bohong.
Rita bagaimanapun tidak bersetuju kerana mendakwa dalam keterangannya itu, dia merujuk kepada masa suaminya mula keluar rumah pada Januari 2012 sehingga sebelum kes itu difailkan pada November 2012.
Ketika Roshdan mencadangkan kepada Rita, Mohd. Aidil tidak pernah gagal memberi nafkah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan sepanjang 2013 setakat ini, saksi tersebut tidak menafikannya.
Rita dalam pada itu tidak bersetuju dengan cadangan Roshdan bahawa gaji Mohd. Aidil yang sebenar hanya RM10,000 dan bukan RM50,000 seperti yang didakwa olehnya.
Bagaimanapun, Rita bersetuju dakwaan berkenaan gaji suaminya itu dibuat tanpa mengemukakan sebarang dokumen sokongan.
Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, yang meliputi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.
Untuk dirinya, Rita menuntut RM7,400 sebulan termasuk perbelanjaan rumah.
Rita hadir ditemani dua rakannya manakala Mohd. Aidil tidak hadir kerana mengikuti latihan bola sepak bagi berdepan perlawanan persahabatan dengan Chelsea.
Perbicaraan bersambung 11 dan 30 September depan.(Utusan online-Mahkamah). Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2139 hrs on July 18, 2013.
No comments:
Post a Comment