Thursday, July 18, 2013

Sedia bincang guna sistem biometrik

KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan sedia membincangkan penggunaan sistem biometrik bagi menggantikan dakwat kekal seperti cadangan asal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, syor yang dikemukakan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) itu disifatkan sebagai langkah terbaik berikutan pelbagai pertikaian berhubung penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum lalu.
Datuk Seri Shahidan Kassim,Menteri di Jabatan Perdana Menteri
"Itu cadangan yang terbaik, kita akan pastikan supaya perkara ini dibincangkan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Shahidan berkata, cadangan menggunakan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 telah dikemukakan wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

"Cadangan ini telah dikemukakan Gombak (Azmin Ali) dan kita ikut. Ada juga yang tidak bersetuju dan marah apabila kita ikut kata pembangkang, sedangkan SPR mencadangkan supaya digunakan kaedah biometrik," katanya.

Dalam pada itu, Annuar ketika mengesyorkan penggunaan sistem biometrik berkata, polemik dakwat kekal terus berpanjangan disebabkan terdapat pihak yang kalah enggan menerima kekalahan mereka.

"Jika sistem biometrik tersebut sebagai satu alternatif, adakah pihak kerajaan tidak bercadang menghapuskan sama sekali sistem menggunakan dakwat kekal berikutan banyak negara tidak menggunakan sistem calit di jari pada masa ini.

"Persoalan saya adakah kerajaan mungkin mengkaji supaya tidak menggunakan langsung dakwat kekal dan menukar kepada sistem biometrik supaya pilihan raya lebih telus," katanya.

Sementara itu, Shahidan dalam penggulungannya turut menyentuh mengenai jumlah mereka yang membuat aduan berhubung pelbagai isu yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu.

"Daripada sebanyak 13.2 juta atau 84.4 peratus pengundi yang keluar mengundi, hanya 1,469 atau 0.0013 pengundi yang membuat aduan. Dengan jumlah pengadu yang begitu sedikit tidak akan mencacatkan keputusan pilihan raya," katanya.

Menjawab isu lain, Shahidan berkata, kerajaan membuat keputusan tidak memberi tender kepada syarikat pembekal dakwat kekal sebelum ini sebagai menjaga kerahsiaan dan mengelak manipulasi.(Utusan online-Parlimen).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1.46 am on July 19,2013.

No comments: