Wednesday, July 31, 2013

Tujoh NGO lapor polis video hina Islam

KUALA LUMPUR 31 Julai - Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung satu lagi klip video yang dikatakan menghina Islam di laman Youtube bertajuk 'Video Menghina Islam 1 hari di Hari Raya'.

Pertubuhan berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Sekretariat NGO Negeri Selangor, Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (BATAS), Pak Long Nusantara, Cahaya Haluan Amanah Insan Malaysia dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRENE).

Kesemuanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini sekitar pukul 11.40 pagi hingga 2.45 petang. Bercakap kepada pemberita kemudian, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, klip video itu menyinggung perasaan ramai umat Islam dan meminta polis menahan individu yang terlibat di sebalik pembikinan klip video itu.

"Kami rasa sangat marah dan terhina dengan klip video itu. Ia seakan-akan menyamakan kaedah mengambil wuduk dengan cara membasuh kaki anjing, sedangkan ramai tahu bahawa anjing itu adalah najis dalam Islam," katanya.

Pengerusi BATAS, Mazni Abdul Ghani, dalam pada itu pula menggesa agensi relevan seperti polis menyiasat perkara berkenaan hingga ke akar umbi bagi membanteras lebih banyak individu melakukan tindakan serupa di masa depan.

"Sepatutnya kita yang tinggal di negara majmuk harus sensitif dengan isu yang boleh membangkitkan perasaan marah...kita kena hormat sesama sendiri tanpa memburuk-burukkan agama lain dan pegangannya," katanya.

Klip video itu memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman selama 1 minit 44 saat itu, turut menunjukkan individu itu yang memakai baju hitam mengambil wuduk sebelum menghidangkan kuih raya kepada anjingnya.

Sebelum ini, pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee didakwa di mahkamah mengikut subseksyen 4 (1)(C) Akta Hasutan 1958 kerana mempersenda Ramadan dengan memuat naik hidangan khinzir Bak Kut Teh, berserta kapsyen dan logo yang menyentuh sensitiviti umat Islam. - BERNAMA(Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.Blogspot.com.at 1847 hrs on July 31,2013.

No comments: