Monday, August 19, 2013

Fandi letak jawatan

Oleh NURUL HUDA HASSAN 
huda.hassan@utusan.com.my.

Fandi Ahmad
JOHOR BAHRU - Legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad telah membuat keputusan meletak jawatan sebagai pengurus pasukan yang ramai dibarisi pemain berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT). 

Kenyataan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu yang dihantar menerusi emel kepada media di sini, semalam bagaimanapun tidak menyatakan tarikh ia berkuat kuasa.

Fandi dan PBNJ masing-masing bersetuju membawa haluan sendiri selepas membuat pertimbangan teliti dan persefahaman bersama selain PBNJ ingin mencari pendekatan taktikal berbeza.

Beliau yang pernah beraksi di Liga Belanda bersama Groningen FC, menyifatkan keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang mudah, malah memeritkan, namun ia adalah penting demi masa depannya sebagai seorang jurulatih.

“Bola sepak adalah dunia saya dan saya tidak boleh hidup tanpanya. Ia juga memberi saya sebab untuk hidup sekali gus mahu menyumbang kepada bola sepak menerusi pengalaman yang ada dan mengikut kata hati iaitu menjadi jurulatih.

“Kegembiraan juga sebahagian daripada kehidupan dan tugas sebagai jurulatih bola sepak membuatkan saya gembira selama ini dan disebabkan itu saya sentiasa memilih untuk terus mencari kegembiraan tersebut. 

"“Sebagai seorang pemain saya sentiasa memberikan yang terbaik dan sebagai jurulatih juga saya mahu berterusan memberikan yang terbaik bila peluang itu datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Fandi juga berharap tiada pihak membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana keputusan dicapai dengan persetujuan bersama selain keluarga beliau turut memainkan peranan dalam mencapai keputusan tersebut. 

Dalam pada itu, Fandi turut berterima kasih kepada Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang beliau berada bersama Johor Darul Takzim dan juga kepada peminat bola sepak Johor.

“Saya juga berasa kesal kerana tidak dapat menghadiahkan sebarang piala kepada peminat Johor. Ingin juga saya tegaskan bahawa kami sudah berusaha sebaik mungkin dalam setiap perlawanan yang diharungi. 

"“Bagaimanapun, saya percaya dengan komitmen serta sokongan Tunku Mahkota Johor dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini, Johor Darul Takzim mampu untuk meraih piala tidak lama lagi," katanya.

Pada masa sama, Fandi mengharapkan yang terbaik buat pasukan, pemain dan peminat di Johor yang disifatkan sebagai sebuah negeri yang menarik dan telah menemukan beliau dengan ramai kawan yang sudah dianggap seperti keluarga.

PBNJ dalam kenyataannya menyifatkan berita peletakan jawatan Fandi itu mendukacitakan buat mereka dan penyokong Johor, namun pihak persatuan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim itu.

Menurut PBNJ, Fandi merupakan seorang jurulatih yang cemerlang dan sentiasa berdedikasi dalam usaha membentuk pasukan yang mantap selain sudah banyak menabur bakti dalam pembangunan bola sepak di negeri ini. “

Pintu PBNJ sentiasa terbuka bagi Fandi dan beliau juga sudah dianggap seperti keluarga di sini. PBNJ juga sentiasa bersedia memberi sokongan dalam sebarang usaha yang bakal diceburi beliau pada masa akan datang. “Jasa dan sumbangan Fandi terhadap projek bola sepak Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai PBNJ dan penyokong," kata kenyataan itu.(Utuisan online-sukan tempatan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.47 asm on Ogos 20,2013.

No comments: