Oleh TERMIZI CHE ANUAR dan
MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Hasil kajian yang dilakukan Jawatankuasa Suara Musyawarah mendedahkan berlaku penindasan atau diskriminasi yang serius mencakupi semua aspek kehidupan terhadap orang Melayu Islam di Singapura walaupun mereka juga adalah warganegara bertanggungjawab.
Kajian itu yang dipetik daripada Suara Musyawarah Perbincangan dengan Masyarakat - Laporan Jawatankuasa Julai 2013 memberitahu, walaupun masyarakat Melayu Islam Singapura memiliki semangat nasionalisme serta kekitaan yang tinggi, namun pandangan stereotaip dan persepsi negatif terhadap mereka masih lagi wujud dan dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi.
Menurut kajian yang dilaksanakan sepanjang November 2012 sehingga Mei lalu itu, beberapa pengalaman peribadi memberi andaian, diskriminasi juga diamalkan dari segi pekerjaan.
"Ada majikan yang mengatakan dengan jelas bahawa pilihan mereka adalah pekerja bukan Melayu dan wanita Islam pula diketepikan atau diberitahu secara terus-terang bahawa mereka tidak dibenarkan memakai tudung.
"Yang menarik, jururawat di hospital pemerintah tidak dibenarkan memakai tudung, sedangkan kebanyakan hospital swasta membenarkan para jururawat Islam bertudung," kata laporan itu yang dipetik daripada http://suaramusyawarah.com.
Laporan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sallim Abdul Kadir itu menjelaskan, walaupun tiada paras kemiskinan formal di Singapura, namun satu kajian bertajuk 'Kelima Terbawah di Singapura' menunjukkan bahawa sebuah keluarga seramai empat orang memerlukan sekitar $1,700 (RM5,587) sebulan untuk menampung perbelanjaan asas rumahtangga dan $2,500 hingga $3,000 (RM8,217 hingga RM9,860) pula diperlukan untuk memenuhi paras pendapatan 'penyertaan sosial'.
Malangnya, hasil kajian yang mengadakan pertemuan dengan lebih 500 individu serta wakil dari pelbagai kumpulan dan pertubuhan masyarakat Melayu Islam itu mendapati, satu pertiga keluarga Melayu Islam menerima pendapatan bawah $3,000 yang biasanya terdiri daripada keluarga lebih besar dan tertekan akibat kos sara hidup yang kian meningkat.
"Seorang daripada tiga responden percaya, kumpulan orang Melayu itu tidak menerima bantuan luar secukupnya untuk menampung hidup di Singapura, terutama perumahan dan sokongan kewangan,'' katanya.
Namun, jawatankuasa itu juga mendapati bahawa keluarga-keluarga yang ditemui tidak bersikap meminta-minta tetapi ingin bantuan untuk memiliki kemahiran dan peluang agar mereka dapat berdikari seterusnya meningkatkan diri.
"Jika mereka keluar mendapatkan bantuan sekali pun, mereka kadang-kala mendapati proses mendapatkan bantuan itu sungguh mencabar.
"Ini juga menyebabkan mereka keberatan untuk mendapatkan bantuan kerana dipandang rendah apabilaberbuat demikian," jelas laporan itu.
Jawatankuasa yang dibentuk pada 5 Oktober tahun lalu itu melaporkan, masyarakat Melayu di negara itu turut diketepikan daripada bahagian tertentu Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Walaupun jawatankuasa akur bahawa lebih ramai orang Melayu Islam berkhidmat di unit-unit yang lebih luas lagi, mereka berharap agar dasar berkaitan dengan keselamatan dan SAF dapat terus disemak dan dipandang sama rata seperti masyarakat lain.
Selain itu, jawatankuasa tersebut turut mendedahkan pemilikan rumah keluarga Melayu telah merosot daripada 93.4 peratus kepada 89.6 peratus antara tahun 2000 dan 2010.
"Kebanyakan keluarga Melayu tinggal di estet iaitu 40 peratus di flat empat bilik dan 30 peratus di flat lima bilik atau flat lebih besar.
"Satu kajian bertajuk "Kelas Bawahan Melayu: Penerokaan Isu Unik di Singapura" menunjukkan seorang daripada 10 orang Melayu mendiami rumah sewa,'' katanya.(Utusan online-dalam neger).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.59 am on Ohgos 20,2013.
No comments:
Post a Comment