KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan tidak melayan kerenah dan tuntutan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, PPPM perlu diteruskan mengikut jadual ditetapkan bagi mencapai sistem pembelajaran berkesan.
Dalam masa sama, menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan menumpukan usaha memperkasa sekolah kebangsaan dan menghentikan peruntukan dana baharu kepada sekolah vernakular.
"Kita juga minta kerajaan mewajibkan beberapa mata pelajaran sebagaimana yang diajar di sekolah kebangsaan seperti Sejarah kepada pelajar di sekolah jenis kebangsaan.
"Jika mereka menolak, kerajaan perlu menarik balik bantuan dana yang diperuntukkan memandangkan kerajaan perlu mengutamakan agenda pendidikan demi masa depan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal niat sebenar Dong Zong menentang pelaksanaan PPPM yang akan dilancar bulan depan walaupun mereka turut terlibat dalam penggubalannya sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, dakwaan Dong Zong kononnya pelaksanaan PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sama sekali tidak benar serta tidak disebut langsung dalam pelan berkenaan.
Tambah Syed Hassan, kerajaan juga tidak perlu melayan tuntutan Dong Zong yang mahu Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) diiktiraf kerana langkah itu akan menghalang usaha perpaduan nasional.
Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan melaksanakan usaha memperkasa sekolah agama berteraskan Islam di seluruh negara.
"Sekolah agama di seluruh negara perlu diseragamkan dengan sistem pendidikan menerusi langkah mewajibkan semua pelajar Islam mengikuti pembelajaran di sekolah agama selepas atau sebelum waktu sekolah kebangsaan.
"Pembinaan bangunan yang mencukupi untuk sekolah agama juga perlu dilaksanakan bagi penempatan pelajar Islam," katanya.
Sementara itu, Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim turut mempersoal sikap Dong Zong yang sering menolak segala usaha baik kerajaan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara.
"Mereka perlu faham PPPM bukanlah usaha pendidikan yang hanya memberi kebaikan kepada anak Melayu sahaja tetapi meliputi keseluruhan lapisan masyarakat berbilang kaum," katanya.
Menurut beliau, sikap Dong Zong itu lebih mencerminkan kecenderungan pertubuhan tersebut kepada pembangkang yang sering menentang usaha baik kerajaan.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 11.55 am on Ogos 24,2013.
No comments:
Post a Comment