Friday, August 23, 2013

Kekalahan di Selangor.Tempoh kecewa sudah berlalu.

Agenda Daily
SABTU, 24 OGOS 2013 07:57
LUKMAN ABDULLAH 

Kalah tidak semestinya rebah.Itu mesej Datuk Seri Najib Tun Razak kepada UMNO Selangor tidak mahu ia terus merintih tewas di negeri itu pada pilihanraya umum ke 13 dan tinggal 12 kerusi Dewan Undangan negeri dan lima parlimen.

Perdana Menteri sebaliknya mahu mereka buat satu 'post-mortem' yang kritikal serta jujur mengenai kekalahan itu untuk dijadikan sempadan bangun semula.

Katanya post-mortem itu mesti sanggup mengupas, membelek dan mendalami setiap yang berlaku, peristiwa, keputusan dan tindakan yang telah dilakukan menjurus kepada PRU13.

"Kita mesti buat satu post mortem yang begitu kritikal dan jujur, kita mesti sanggup mengupas, membelek dan mendalami setiap yang telah berlaku, sama-samalah kita berkongsi pendapat kita," katanya.

"Kita mesti tanya pada diri kita di mana letaknya kekuatan kita dan di mana pastinya telah berlaku kekhilafan, kelemahan ataupun tindakan serta keputusan yang tidak kena pada tempatnya ataupun yang tersasar yang telah menyebabkan UMNO dan BN tidak mencapai apa-apa yang kita harapkan yakni cita-cita kita itu tidak menjadi kenyataan sebaliknya kita hanya dapat 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima di peringkat parlimen," tegas beliau.

Najib mentyatakan demikiian semasa berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri bersama rakyat Selangor di Institut Kraf Negara di Rawang, Jumaat malam anjuran Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Beliau menyifatkan tempoh kekecewaan setelah gagal meraih mandat rakyat pada PRU13 di Selangor khususnya telah berlalu.

"Sudah cukup tempoh masa untuk kita rasa kecewa, sudah cukup tempoh masa untuk kita merenung akan nasib kita, mulai pada hari ini pada tarikh ini kita hanya ada satu sahaja jangan lihat kebelakang, lihat ke hadapan, lihat pada perjuangan kita di hari muka. Hanya kalau kita sanggup bangun dengan semangat orang gigh dalam perjuangan baru kita akan mencapai kejayaan.

"Saya berharap tempoh masa untuk kita merasa sedih dan bertanya-tanya, merenung ataupun sukar tidur di waktu malam, terkenang-kenang peristiwa PRU13, setelah 100 hari berlalu kita jadikan ini sebagai sempadan,".katanya Perdana Menteri mahu anggota UMNO mengakui kesilapan dan kekhilafan yang telah dilakukan pada pilihan raya lalu dan menjadikannya iktibar agar ia tidak berulang pada PRU ke-14 nanti. 

Najib berpendapat prestasi sepatutnya lebih baik namun, katanya, "kita mesti akui bahawa sudah tentu ada beberapa keputusan yang kita buat telah menyebabkan sokongan yang kita harapkan itu tidak diterjemahkan dalam bentuk undi dalam PRU13."

 "Saya sendiri tahu, tuan-tuan dan puan-puan pun barangkali tahu, sama-samalah kita kongsi pendapat kita, bukanlah kita hendak menghukum, bukan kita hendak menuding jari, " jelas beliau.

Najib seterusnya berkata, "lebih daripada itu kita tidak mahu mengulangi kekhilafan kita kerana kita mahu lihat pada masa depan bahawa berbekalkan dengan keberanian untuk melakukan proses muhasabah, membetulkan segala kelemahan, merapatkan semula barisan agar dalam PRU14 akan datang impian kita akan menjadi kenyataan dan realiti."

Beliau mengingatkan titik tolak kepada pemulihan UMNO Selangor dan kejayaan pada hari muka semestinya perpaduan, permuafakatan dan juga kesetiaan kepada parti.

"Kesetiaan kepada parti, permuafakatan dan perpaduan mesti kita jaga sepanjang masa," tambahnya. Melihat pada kehadiran ramai di majlis itu Najib beranggapan penyokong-penyokong masih setia dengan UMNO dan BN.

Beliau mengucap terima kasih kepada pimpinan 22 UMNO Bahagian di negeri Selangor kerana telah memberi kerjasama yang amat baik sewaktu beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN negeri Selangor sehingga selesai PRU13.

Kata Najib, "kerjasama seperti ini saya harap dapat dipanjangkan kepada pimpinan baru perhubungan UMNO negeri di mana saya telah amanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengerusi Perbubungan UMNO negeri Selangor yang baru serta penyandang-penyandang lain merupakan barisan kepimpinan baru yang kita amanahkan untuk memimpin UMNO Selangor sama-sama dengan rakan-rakan BN kita yang lain."

Najib berpesan, "kita tidak boleh rasa putus asa ataupun kecewa, sebagai orang yang berjuang tidak ada dalam kamus perkataan putus asa atau kekecewaan."

"Kita lihat orang lain, perjuangannya penuh dengan pahit getir sebelum mereka mencapai kejayaan. "Saya pernah berjumpa dengan Presiden Mandela yang telah dihukum dan dipenjarakan selama 27 tahun, 14 tahun di sebuah pulau dengan melakukan kerja-kerja berat namun dalam masa 27 tahun itu beliau tidak pernah putus asa.

"Inikan kita tidak dipenjara, kita bebas, kita masih ada kerajaan pusat di bawah UMNO dan BN yang mana kita boleh bergantung harap cuma yang kita hendak ialah api perjuangan kita, jangan api itu tidak terus membara, kita mahu api perjuangan kita itu menjadi punca kekuatan untuk kita berjuang habis-habisan bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang, maknanya, otang yang berbakal semangat yang kukuh lagi jitu akan berjaya, " kata Najib.

Menyentuh soal pemilihan calon PRU13, Najib berkata, "mungkin adakala kita rasa kenapa kita tidak dipilih sebagai calon, mungkin kita rasakan kenapa orang lain menjadi calon, kadang kita pulak bila dah jadi calon kenapa pula kita kalah, bermacam-macam perkara berlegar dalam kepala kita."

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan Timbalannya Abdul Shukor Idrus yang juga ADUN Kuang merangkap Ketua UMNO Bahagian Selayang.

Najib berkata, walaupun tidak lagi menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, beliau akan tetap membantu kepimpinan UMNO di negeri itu bagi mengembalikan Selangor ke pangkuan UMNO dan BN.

"Saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya lakukan sepanjang menjadi pengerusi, harap kerjasama pada saya akan diteruskan. Buatlah kerja bersungguh-sungguh, tunjukkan sikap yang serius, jangan tidak hadir sidang Dewan, dampingi rakyat, sekiranya kita mengamalkan sikap rendah diri dan mesra rakyat, peluang untuk kembali berkuasa tentu lebih baik," katanya.

Najib, yang juga Presiden UMNO, turut berharap agar anggota UMNO membuat keputusan yang tepat pada pemilihan parti itu di peringkat Selangor.

"Jangan buat angkara yang boleh melemahkan parti, pilihlah pemimpin sebaiknya, kita perlukan adunan yang lama dan baharu, bakat-bakat kepimpinan yang boleh kita asuh untuk kepimpinan parti," ujarnya.- 24/8/2013-OLEH LUKMAN ABDULLAH(Dari Agenda Daily).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 12.29 am on Ogos 24,2013.

No comments: