Saturday, August 24, 2013

Kediaman Isa Samad dipecah masuk,lima ahli keluarga dikat

Dua orang pegawai polis berada di pekarangan rumah Isa Samad untuk menyiasat kes samun bersenjatakan parang ke atas rumah ahli politik berkenaan di Nilai Springs Villa, Port Dickson, semalam.

SEREMBAN 23 Ogos - Lima ahli keluarga Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berdepan detik-detik mencemaskan selepas diikat sebelum disamun empat lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah ahli politik berkenaan di Nilai Springs Villa di sini awal pagi ini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu, dua anak perempuan, seorang menantu lelaki, seorang cucu dan seorang anak saudara perempuan Mohd. Isa serta seorang pembantu rumah sedang tidur di banglo dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, ketika kejadian Mohd. Isa dan isteri tiada rumah berkenaan kerana berada di sebuah lagi kediaman beliau di Seremban.

Katanya, ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur dalam bilik masing-masing tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai warga asing.

"Kesemua ahli keluarga Mohd. Isa dan seorang pembantu rumah yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an kemudian dikumpulkan di dalam sebuah bilik sebelum diikat.

"Kumpulan suspek mengambil masa hampir 40 minit untuk menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan empat buah telefon bimbit dan dua peti besi yang mengandungi barang kemas serta jam berjenama milik ahli politik itu yang bernilai ribuan ringgit," katanya di sini hari ini.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati empat penjenayah itu masuk melalui pagar belakang kediaman tersebut yang terletak bersebelahan padang golf dan sempat mengikat seorang anggota polis bantuan Felda yang bertugas di sebuah pondok pengawal di situ setelah diacu parang.

"Salah seorang suspek itu mengawal anggota polis bantuan tersebut manakala tiga lagi suspek terus masuk ke rumah mangsa selepas mengumpil tingkap rumah di bahagian belakang," jelasnya.

Menurut beliau, kesemua mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dengan bantuan seorang anggota polis bantuan yang tiba selepas semua suspek beredar sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. 

"Mangsa-mangsa dalam kejadian itu tidak dicederakan dan jumlah kerugian sedang ditafsir. Polis memburu semua suspek terlibat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Mohd. Isa dan ahli keluarganya enggan ditemui pemberita kerana masih trauma dengan kejadian itu dan difahamkan program Majlis Hari Raya Felda Global Ventures (FGV) di Jempol hari ini yang sepatutnya dihadiri beliau terpaksa dibatalkan.(Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2340 hrs on Ogos 24,2013.

No comments: