Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
DR. AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dalam Majlis Aidilfitri Persatuan Pengasih Malaysia 2013 sambil diiringi Mohd. Yunus Pathi (kiri) di pekarangan Rumah Pengasih, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/NASIRRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Perdebatan mengenai kalimah Allah perlu diberi titik noktah kerana kalimah suci itu merupakan hak mutlak agama Islam dan mana-mana pihak, khususnya penganut bukan Islam mesti menghormatinya tanpa perlu mempolemikkan perkara tersebut.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi justeru menyeru seluruh umat Islam, organisasi Islam serta para pemimpin Islam di negara ini agar bersatu hati dengan mengetepikan sebarang perbezaan politik demi mempertahankan kesucian kalimah Allah.
Tanpa berniat mahu mendahului Mahkamah Rayuan yang akan membuat keputusan pada 22 Ogos ini berhubung permohonan pihak gereja katholik untuk menggunakan kalimah Allah, beliau berkata, kalimah Allah adalah hukum Qath'i (pasti) dan wajib umat Islam mempertahankannya.
"Ketepikan perbezaan politik dalam kalangan kita. Ketepikan sebarang perbezaan tafsiran atau sebarang kepentingan jika ada, baik kepada individu mahupun organisasi diwakili kerana kalimah Allah bukan soal hak (asasi) tetapi hak mutlak Islam yang wajib dipertahankan.
"Ia perlu diberi titik noktah dan tidak menjadi isu yang dipolemikkan. Kita hendaklah bersetuju untuk bersetuju bagi mempertahankan kalimah Allah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi.
Pada 22 Ogos ini Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan terhadap permohonan Paderi Besar Kristian Katholik, Tan Sri Murphy Pakiam supaya mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam khususnya di kalangan penganut Kristian.
Mengenai cadangan agar Majlis Raja-Raja Melayu mengambil ketetapan tegas berhubung kalimah Allah sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, UMNO dan kerajaan tidak berhasrat mencampuri urusan majlis itu.
Dalam pada itu, ditanya apakah lonjakan populariti yang diperoleh beliau sekarang hasil tindakan tegas dalam menangani isu-isu berkait keselamatan negara bakal memberi kelebihan semasa pemilihan UMNO nanti, Ahmad Zahid berkata, populariti bukan matlamatnya.
Sebaliknya beliau menjelaskan, sebarang tugas yang diamanahkan secara rasmi melalui jawatan kerajaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepadanya diterjemahkan perlaksanaanya dengan sepenuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang populariti.
"Soal popular atau tidak itu bukan menjadi matlamat penting kepada saya. Itulah sebabnya saya jelaskan, biarlah perwakilan menilai tentang apa yang ketiga-tiga kami (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) telah lakukan," katanya.(Utrusan online-dalam negeri).Posted bvy abnmulya / Bakar Ningal.BNlogspot.com.at 9.39 am on Ogos 18,2013.
No comments:
Post a Comment