Saturday, August 17, 2013

PR pengusaha resort dilantik balik

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menarik balik serta-merta status penduduk tetap (PR) pengusaha resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor yang membenarkan surau di premis itu digunakan untuk ritual keagamaan Buddha.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelucutan itu merupakan tindakan pertama kali diambil terhadap pemegang status PR di negara ini dan berharap perkara tersebut menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak agar tidak sesekali menghina Islam.

Tegas beliau, taraf PR yang diberi kepada pengusaha resort warga Singapura itu hanya kemudahan dan bukan keistimewaan sehingga dengan sesuka hati boleh membenarkan surau digunakan untuk ritual agama Buddha tanpa memikirkan sensitiviti agama di negara ini.

"Sebagai PR, beliau harus sensitif terhadap hal ehwal agama yang diamalkan di negara kita. Jangan mengunakan sebarang status yang diberi untuk melakukan perkara di luar kelaziman. Jangan pernah meremehkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

"Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada semua. Kementerian dan JPN berhak menarik balik kedudukan warganegara atau PR mana-mana individu yang telah diberikan jika melakukan perkara di luar amalan ketertiban perundangan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Yunus Pathi di sini hari ini.

Ditanya adakah lebih banyak tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang menghina agama Islam selepas ini, Ahmad Zahid berkata, kementerian itu tidak mempunyai kuasa dalam bidang keagamaan tetapi sedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri dan kerajaan negeri.

Mengenai kebanjiran senjata api, beliau berkata, pihak berkuasa menerusi gabungan Polis Diraja Malaysia (KDRM), Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telah memperketatkan kawalan di semua pintu masuk laut dan darat.

Tambahnya, kesemua agensi penguat kuasa terbabit juga telah dibekalkan dengan alat pengesan logam terkini bagi membolehkan sebarang cubaan menyeludup senjata api terutama di pintu-pintu masuk negara dapat dipatahkan lebih awal.

Terdahulu semasa berucap dalam majlis rumah terbuka Pengasih itu, Ahmad Zahid berkata, kementerian bercadang untuk mewujudkan agensi tunggal bagi menangani masalah pengedaran, salah guna dadah serta rawatan pemulihan ke atas para penagih.

\"Sekarang kita ada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kastam dan juga Kementerian Kesihatan tetapi kita tidak ada badan tunggal. Ini yang kita mahu bincangkan yang mungkin melibatkan beberapa pindaan akta," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya/ Bakar Ningal.blogspot.com.at 9.47 am on Ogos 18,2013.

No comments: