Friday, August 23, 2013

Keputusan batal pertuduhan Tian Chua 26 Sept.

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 September ini keputusan permohonan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu hari ini.

Tian Chua diwakili peguam-peguam, Eric Paulsen dan Latheefa Koya manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim dan Mohd. Farizul Hassan Bakri.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya. 

Terdahulu, Eric menyatakan bahawa pertuduhan ke atas anak guamnya yang juga Ahli Parlimen Batu adalah berat sebelah, berniat jahat dan merupakan pendakwaan terpilih.

Latheefa pula menghujahkan, segala kenyataan yang dikeluarkan oleh Tian Chua ditujukan kepada UMNO dan bukannya kepada pemerintah atau negeri tertentu.

"Menurut Seksyen 3 Akta Hasutan kecenderungan menghasut ditafsirkan sebagai mendatangkan kebencian atau penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja, kerajaan, pentadbiran keadilan atau kaum. UMNO tidak tergolong dalam mana-mana tafsiran itu," katanya.

Sementara itu, Yusaini Amer menghujahkan, walaupun pemohon menggunakan perkataan 'Kerajaan UMNO' dalam kenyataannya, secara tidak langsung merujuk kepada Kerajaan Malaysia atau lebih tepat kerajaan yang memerintah pada masa ini.

Beliau turut menyatakan, kes ini wajar dibicarakan agar saksi-saksi pendakwaan dapat memberi keterangan dan hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes ini dapat memutuskan sama ada elemen di bawah Akta Hasutan dipenuhi atau sebaliknya.

Menurut kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan:

* Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;

* Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;

* Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah;

* Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing. Kes itu akan disebut di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 September ini.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 1909 hrs on Ogos 23,2013.

No comments: