Saturday, August 10, 2013

Sesiapa berhak bertanding

MOHD. ShaOleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
Shafie Apdal (tiga dari kiri) bersama isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib (tiga dari kanan) menyambut kedatangan orang ramai dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Semporna, Sabah, semalam. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN 

SEMPORNA 10 Ogos - Mana-mana ahli UMNO berhak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu akan datang sesuai dengan demokrasi yang diamalkan parti tersebut sejak sekian lama.

Walau bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau berharap dua jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar kerana menyifatkannya sebagai tiang keutuhan parti.

"Bukan hak kita menidakkan orang lain, tetapi kita tahu jika ada pertandingan, yang menang itu baik, tetapi jika berlaku perpecahan maka akan melemahkan parti.

"Kalau bertanding secara sihat dan bebas tidak mengapa, tetapi kadang-kadang tawar diri bertanding macam-macam cerita berlaku," katanya dalam majlis rumah terbuka beliau di sini hari ini.

Pemilihan UMNO akan datang dijangka menyaksikan persaingan sengit terutama bagi jawatan Naib Presiden yang disandang Mohd. Shafie ketika ini.

Perkara itu berikutan semakin ramai calon menawarkan diri bertanding jawatan tersebut yang turut dipertahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Sehingga kini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hampir pasti bertanding jawatan itu manakala Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga disebut-sebut akan menawarkan diri.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, apa yang lebih penting pada masa ini adalah semua pihak mengutamakan penyatuan dan perpaduan parti.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mampu melaksana pelbagai transformasi dan perubahan sejajar dengan kehendak semasa sesuai dengan kematangannya. 

"Dalam politik memang ada cabaran kerana bukan gelanggang politik jika tidak ada cabaran," katanya ketika mengulas kandungan buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia yang memetik komen bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah dipetik berkata, cabaran paling besar yang dihadapi Najib ketika melakukan transformasi adalah bantahan daripada ahli-ahli UMNO sendiri.

Menurut Mohd. Shafie, UMNO telah melakukan pelbagai perubahan termasuk dalam pemilihan akan datang yang menyaksikan tiada sebarang sekatan kepada sesiapa sahaja dalam pemilihan parti.

Walau bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting bagi UMNO adalah memperkuat parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.( Utusan online-politik).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 9.56 am on Ogos 11,2013.

No comments: