Monday, September 2, 2013

PEMIMPIN UMNO TIDAK PRODUKTIF PERLU BERUNDUR

Mustapha Yaakub,Setiausaha Veteran Umno Malaysia 
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Mana-mana pemimpin UMNO bahagian yang sudah lama memegang jawatan serta tidak lagi produktif diminta supaya berundur secara sukarela bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu menerajui parti.

Menurut Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Mustapha Yaakub, tindakan itu wajar selaras dengan usaha mentransformasi UMNO sebagai parti tunggak kepada Barisan Nasional (BN) untuk mendapat keyakinan rakyat.

Sebaliknya kata beliau, tindakan sesetengah pemimpin yang mengekalkan jawatan dan memberi pelbagai alasan hanya akan membantut proses pendewasaan UMNO dan menjadikan parti itu sebuah parti yang tidak progresif.

"Transformasi ini amat sesuai dilakukan sekarang di saat pemilihan kepimpinan di semua peringkat UMNO yang sedang berjalan dan akan diadakan di peringkat bahagian tidak lama lagi.

"Kita minta pemimpin terbabit dengan sukarela mengundur diri kerana ini dapat mengelak berlakunya pertandingan di peringkat Bahagian, sekali gus dapat menguatkan persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapha juga berharap pemimpin lain yang terlalu lama memimpin bahagian dapat mencontohi tindakan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah yang sanggup berundur bagi memberi laluan kepada orang baharu yang lebih muda.

"Ada ketua bahagian memberi alasan kononnya tiada pemimpin pelapis dan tidak ada yang layak untuk menggantikan tempat mereka.

"Alasan ini hanyalah helah untuk mengekalkan jawatan sedangkan sudah ada ramai pemimpin muda yang mempunyai kelayakan dan pengalaman dihasilkan oleh 'kilang' Pemuda yang bersedia untuk mengambil alih kepimpinan bahagian," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 9.33 am on Sept., 03,2013.

No comments: