ABDUL Rahman Othman bercakap kepada media selepas menyampaikan sijil pendaftaran parti politik di Ibu Pejabat, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/MOHD NOOR MAT AMIN
PUTRAJAYA 2 Sept. - Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini membidas DAP kerana tidak pernah memaklumkan apa-apa maklumat atau perkembangan mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dilapor akan diadakan pada 29 September ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, daripada memberi maklumat rasmi kepada ROS, DAP sebaliknya dilihat lebih gemar membuat pengumuman melalui media massa.
"Sampai hari ini saya tak terima apa-apa daripada DAP, apa benda dia nak buat saya pun tak tahu. DAP cakap (buat pemilihan) pada September, saya pun hanya tahu melalui media massa.
"Sekarang dia cakap cakap cakap sahaja, saya pun tak tahu apa yang DAP mahu lakukan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen pendaftaran kepada 20 parti politik baharu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita yang mahu tahu mengenai perkembangan terkini pemilihan semula CEC DAP.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mempersoalkan kenapa DAP belum menyerahkan 500 surat pengesahan yang dikatakan ditandatangani oleh wakil-wakil yang tidak hadir dalam pemilihan CEC akhir tahun lalu untuk mengesahkan bahawa mereka telah menerima notis tersebut tetapi tidak menghadirinya atas sebab peribadi.
"Mana senarai, mana surat itu? Pada 20 Ogos lalu, dia cakap mahu serahkan, hari ini sudah 2 September," katanya mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa surat berkenaan akan diserah oleh DAP walaupun ia tidak diminta ROS. - Utusan online-politik ( Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 9.46 am on Sept., 03,2013..
No comments:
Post a Comment