Thursday, September 26, 2013

RM66.6bilion tidak dituntut


Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pemenang Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia (kategori IPG) Muhamad Afiq Hamizan Norizan (kanan) dan Muhammad Hafizul Aiman Jusoh (dua dari kanan) pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu, semalam. 

KUALA TERENGGANU 25 Sept. - Dua perkhidmatan baharu yang disediakan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Hibah Amanah (pelabur Islam) dan Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam) mampu merancakkan sektor ekonomi sekali gus memberi impak positif khususnya kepada umat Islam jika ia dapat dicairkan melalui cara yang betul.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, mengikut statistik yang diperoleh melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ketika ini, harta orang Islam yang tidak dituntut mencecah RM66.6 bilion.

Katanya, melalui dua perkhidmatan itu, pihaknya yakin dapat mengurangkan masalah harta yang tidak dituntut kerana perkara itu jelas merugikan masa depan pewaris mereka atau generasi masa depan.

"Melalui hibah yang diperkenalkan, rakyat digalakkan menyertai perkhidmatan ini dalam usaha memudahkan urusan tuntutan harta pusaka berbentuk pelaburan dalam ASNB dibuat jika berlaku kematian kepada pemegang unit.

"Umat Islam perlu sedar mengenai kepentingan hibah kerana sebagai umat Islam jika gagal menguruskan harta mereka, ia akan mengakibatkan ekonomi Islam lemah dan bagi orang bukan Islam, pengagihan unit saham dapat disegerakan jika mereka menyertai perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia (Kategori Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Datuk Razali dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Sulaiman Wak.

Pada pertandingan peringkat akhir itu, pasukan dari IPG Kampus Pendidikan Islam, Selangor muncul sebagai juara dengan meraih piala pusingan serta wang tunai RM8,000 termasuk unit Amanah Saham Gemilang (ASG).

Naib juara pula disandang oleh IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan dengan membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM5,000 termasuk unit ASG, manakala tempat ketiga dimenangi IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur yang memperoleh wang tunai RM3,000 termasuk unit ASG beserta piala iringan.

Penganjuran pertandingan kuiz yang masuk tahun kelima itu melibatkan penyertaan sebanyak 5,278 orang penuntut daripada 27 buah IPG seluruh negara dan diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada golongan warga pendidik mengenai pelaburan, ekonomi dan perancangan kewangan.(Utusan online-ekonomi).Postee by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 1744 hrs on Sept.,26,2013.

No comments: