Wednesday, October 30, 2013

15,000 TIKET HABIS SEJAM

Oleh ZAZALI JAMIAN, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, 
 YATIMIN ABDULLAH dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK 
sukan@utusan.com.my 
KEADAAN di Stadium Shah Alam, yang akan menjadi venue perlawanan akhir, Ahad ini tidak kurang kecohnya apabila hampir 15,000 penyokong Pahang dan Kelantan hadir untuk membeli tiket, semalam.

SHAH ALAM - Dalam tempoh sejam sahaja, sebanyak 15,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Kelantan yang dijual di Stadium Shah Alam, semalam, ‘licin’.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kaunter jualan yang dibuka pada jam sekitar pukul 9 pagi itu terpaksa ditutup awal kerana kehabisan tiket, sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada hampir 5,000 penyokong tegar skuad Tok Gajah dan The Red Warriors yang hadir.

Malah, situasi yang mencetuskan persoalan itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Kata Khairy, beliau mahu tahu sama ada tiket tersebut habis dijual kerana permintaan tinggi dalam kalangan penyokong Pahang dan Kelantan atau atas sebab-sebab lain.

Tambahnya lagi, FAM juga perlu menjelaskan berapa banyak tiket yang diperuntukkan untuk jualan runcit serta pukal. “

Ada sebilangan tiket yang dikhaskan untuk jualan pukal kepada sesiapa dan ini akan memberi kesan kepada penjualan runcit, malah FAM perlu memberitahu berada banyak tiket yang dijual untuk pukal dan runcit. 

"“Saya juga nak tahu sama ada FAM sudah laksanakan atau tidak kawalan ketat pada penjualan tiket secara pukal kerana tidak mahu tiket-tiket tersebut akhirnya sampai kepada ulat tiket," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan Persidangan Sukan Untuk Semua ASEAN di sini, semalam.

Sementara itu, kekecohan tidak hanya berlaku di Stadium Shah, yang merupakan venue perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad ini, malah ia turut mewarnai Kuantan dan Kota Bharu.

Di Kuantan, pekarangan Stadium Darul Makmur sesak apabila ribuan penyokong Tok Gajah hadir untuk menyambar 30,000 tiket yang dijual sejak jam 10 pagi.

Semua tiket dijual dalam tempoh tiga jam selepas kaunter dibuka dan rata-rata penyokong telah beratur di stadium seawal jam 7 pagi.

Biarpun ada insiden kecil membabitkan ketidakpuasan hati penyokong yang gagal mendapatkan tiket, namun situasi terkawal dengan langkah keselamatan lebih ketat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata, sebanyak 30,000 tiket habis dijual selepas sebahagian 12,000 daripadanya diagihkan kepada persatuan bola sepak daerah.

Di Kota Bharu pula, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV mulai sesak seawal jam 8 pagi apabila lebih 5,000 penyokong The Red Warriors membanjiri stadium sedangkan kaunter tiket hanya mula dibuka pada jam 3 petang.

Malah, difahamkan ada yang sudah datang sejak jam 6 pagi kerana takut tidak dapat memiliki tiket. Sebanyak 10,000 tiket habis terjual dalam tempoh sejam setengah.

Sepanjang proses itu berlangsung, kekecohan hampir berlaku di mana penyokong sering tolak-menolak untuk mendapatkan tiket sehingga menyebabkan ada yang hampir pengsan dan mengalami kecederaan. 

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa yang bertugas berjaya menenangkan keadaan tersebut daripada menjadi lebih buruk.(Utusan online-sukan tempatan).Posted by abnmulya /Bakar NCom.iat 9.03 am on October 31,2013.nggal. blogspot.

No comments: