Wednesday, October 30, 2013

PRK Sungai Limau jadi ukuran

Oleh ZULKIFLEE BAKAR 
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin melihat memorandum sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional pada majlis ramah mesra bersama pengundi-pengundi Cina DUN Sungai Limau di Yan, Kedah, semalam. 

JERAI 30 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sama ada masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kembali menyokong Barisan Nasional (BN) atau tidak hanya akan diketahui selepas keputusan pilihan raya kecil kawasan itu diumumkan pada Isnin ini. 

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, berdasarkan pemerhatian beliau dan maklum balas daripada Gerakan dan MCA yang menjalankan kajian di situ sejak lebih sebulan lalu, ada sikap terbuka masyarakat berkenaan kembali menyokong BN.

‘‘Seperti kita lihat dalam majlis ini yang datang adalah pengundi tempatan dan bukannya pengundi luar, kalau mereka tidak suka, mereka tidak datang pun tak apa, namun kita akan lihat nanti berdasarkan keputusan di peti undi majoriti masyarakat Cina apa yang kita sebutkan tadi (kembali menyokong BN) atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pengundi-pengundi Cina DUN Sungai Limau, di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk tiga buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan DUN tersebut dan bantuan RM200,000 bagi Tabung Pendidikan Masyarakat Cina Sungai Limau.

Muhyiddin berkata, masyarakat Cina adalah golongan pragmatik dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan termasuklah dari segi menyelesaikan masalah infrastruktur dan pendidikan.

‘‘Komitmen kerajaan BN adalah untuk berlaku adil kepada semua kaum, ia dibuktikan melalui bantuan-bantuan yang kita berikan termasuklah yang saya luluskan hari ini untuk SJKC.

‘‘Apa yang kita luluskan bukan kerana pilihan raya kecil di sini, sebaliknya dalam belanjawan sejak dua tahun lepas ada peruntukan khas untuk sekolah tersebut, sebab itulah kita melihat kali ini adalah waktu yang terbaik bagi mengukur tahap perubahan sikap masyarakat Cina, saya tidak tahu dan kurang pasti keadaan itu sehinggalah kita tahu keputusannya nanti," katanya.

Menjawab satu soalan, Timbalan Perdana Menteri menafikan bantuan yang diluluskan adalah bagi meraih sokongan sempena Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau.

‘‘Sama ada pilihan raya diadakan atau tidak, kita tetap membantu, saya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN tidak ada wang, tetapi kerajaan yang ada wang dan bekerja sepanjang masa, oleh itu apabila kita turun ke sini ada orang minta tolong maka kita bantu. ‘‘

Yang mana kita boleh bantu, kita bantu sebab kita ada peruntukan lagipun memang dasar BN bersikap adil kepada semua kaum, cuma kebetulan di sini ada pilihan raya tetapi kalau pun tidak ada pilihan raya, mereka tetap dapat bantuan," katanya.(Utusan online-politik).Posted byabnmulya/Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.22 am on OCTOBER 31,2013.

No comments: