Thursday, October 31, 2013

Bekas pensyarah didakwa terima rasuah

Wong Chee Wai
IPOH 31 Okt. - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima rasuah RM1,130 daripada dua pelajarnya bagi membantu menaikkan markah penilaian subjek Matematik dan Statistik, dua tahun lalu.

Wong Chee Wai, 41, pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik di ITP sewaktu kejadian mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Tertuduh dari Taman Indah Jaya di sini didakwa menerima suapan wang tunai itu menerusi lima transaksi di antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 di institut berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Chee Wai didakwa menerima rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada pukul 4.15 petang, 14 September 2011.

Dia turut didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar tersebut bagi tujuan sama di hadapan sebuah kelas di tingkat 3, Blok E, ITP pada pukul 3 petang, 12 Oktober 2011.

Pertuduhan ketiga pula menyebut bahawa Chee Wai dituduh menerima suapan RM250 sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Statistik oleh seorang pelajar lelaki yang mengulang mata pelajaran itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2011.

Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai RM300 daripada pelajar sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam sebuah kelas di tingkat 3A, ITP pada pukul 10.30 pagi, 3 Februari 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Chee Wai dituduh menerima suapan RM300 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 2 petang, 8 Februari tahun lalu. 

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM27,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 4 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Kathan.( Utusan online-Mahkamah
).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 12.19 am on November 01,2013.

No comments: