Friday, November 1, 2013

Budaya hgormat dan tolak ansur bukan lagi identiti rakyat Malaysia

OLEH LEE SHI-IAN 
NOVEMBER 01, 2013 

Kira-kira 40 tahun lalu, terdapat ruang persefahaman yang besar di antara pelbagai kaum di Malaysia, namun tidak seperti hari ini, di mana isu kecil boleh membawa kepada perubahan dalam komuniti, kata penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar (gambar).

Beliau, yang juga merupakan Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), berkata sikap tolak ansur dan saling hormat-menghormati telah semakin hilang di kalangan rakyat Malaysia hari ini.

Katanya, nilai budaya yang diamalkan oleh rakyat Malaysia puluhan tahun dahulu hanya tinggal kenangan. 

“Amat menyedihkan melihat keadaan hari ini. Mereka tidak membantu tetapi hanya pandai berkata-kata yang mengundang provokasi,” katanya kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri Forum Kelestarian dan Keamanan Islam-Buddha Antarabangsa hari ini.

Mengambil contoh isu pengubahsuaian Kuil Sri Sundaraja Perumal yang berusia 130 tahun di Klang, Chandra berkata isu itu tidak patut dipertikaikan kerana telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan penganut agama mempunyai kebebasan mempertahankan rumah ibadat mereka.

Katanya, pengubahsuaian kuil Hindu di bandar Klang tidak akan memberi kesan terhadap hubungan antara agama mahupun hubungan sesama manusia.

Beliau berkata isu pengubahsuaian itu tidak harus diperbesar seperti mana dilakukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Chandra mengulas dakwaan Isma yang mengatakan pembinaan kuil itu akan mengakibatkan pelancong Islam dari luar negara akan memberikan persepsi negatif kepada Malaysia.

Di majlis itu, Chandra berkata salah satu kegagalan media adalah tidak mengukuhkan perpaduan di antara masyarakat.

“Umat Islam dan penganut Buddha di Asia Tenggara boleh dikatakan seimbang. Jika hubungan kedua-dua komuniti ini longgar, hubungan Asean juga akan runtuh. Mereka perlu menetapkan sasaran dan saling bekerjasama.

“Kita mesti menghalang ahli politik atau pihak berkuasa menentukan masa depan. Ikatan antara hubungan di Asia Tenggara bergantung kepada keakraban penganut Buddha dan Islam.

“Penting bagi kita memahami apa yang berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kerajaan bertanggungjawab menjaga setiap orang tidak kira kaum minoriti atau majoriti.

“Kerajaan perlu bertindak adil dan menghalang puak pelampau tidak kira latar belakang mereka,” katanya. Chandra berkata orang ramai tidak seharusnya dikelirukan oleh media massa di samping mencadangkan penggunaan media alternatif dan media sosial.

“Keharmonian antara agama hanya mampu dicapai sekiranya kerajaan dan rakyat sedar tentang apa yang berlaku di sekeliling dan bersedia untuk bertindak.

“Ramai mereka di luar sana yang tidak senang dengan apa yang mereka lihat, dengar dan baca. Namun mereka tidak berani bersuara kegusaran mereka,” katanya. – 1 November, 2013. (The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.ata2300hrs on November 01,2013.

No comments: