Thursday, October 17, 2013

Habuan bakar semangat-Annuar Musa

Oleh YATIMIN ABDULLAH 
sukan@utusan.com.my 

Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa,Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan ( Kafa).
KOTA BHARU - Pemain-pemain Kelantan menerima suntikan semangat tambahan apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada separuh akhir Piala Malaysia di Selayang esok selepas dijanjikan habuan lumayan RM150,000 jika berjaya melangkah ke final.

Ganjaran itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa semalam, ketika pasukan The Red Warriors dalam persiapan akhir bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Menurut Annuar, imbuhan tersebut mampu menjadi pembakar semangat buat gergasi Pantai Timur itu untuk mencari kemenangan apabila berdepan lawan yang telah dikalahkan dalam perlawanan akhir kejohanan yang sama, tahun lalu.

"Baru-baru ini kita telah memberi bonus kepada pemain The Red Warriors berjumlah RM100,000 selepas mereka menumbangkan Johor DT (Darul Takzim) dan mara ke separuh akhir tetapi itu tidak cukup.

"Jika layak ke pentas akhir, kita akan memberikan hampir RM150,000 kepada pemain sebagai imbuhan di atas kejayaan ini kerana kemenangan akan mendekatkan lagi misi kita untuk mempertahankan piala ini," kata Annuar pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di kediamannya di Bukit Marak dekat sini semalam. 

Menurut Annuar lagi, pertemuan menentang The Gladiators esok amat penting buat Kelantan untuk mencari bekalan selesa sebelum menghadapi perlawanan kedua di Kota Bharu, minggu depan.

"Saya harap barisan pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan ini dan tidak hilang fokus memandangkan kita akan beraksi di tempat lawan.

"Semua pemain boleh beraksi dan bebas daripada kecederaan, kecuali Daudsu Jamaluddin yang terpaksa menjalani ujian scoope akibat kecederaan lutut," ujarnya lagi.

Selain disemarakkan dengan habuan lumayan, skuad The Red Warriors turut menerima khabar gembira menjelang pertemuan dengan ATM apabila Annuar mengesahkan beberapa pemain berprofil tinggi berada dalam radar pasukannya untuk menghadapi musim baharu.

Selepas dikhabarkan bakal kehilangan ramai tonggak utama musim depan, Kelantan sudahpun memburu beberapa pemain berstatus tinggi untuk memastikan dominasi mereka sebagai gergasi bola sepak tempatan dapat diteruskan.

 "Kami tidak tertekan biarpun beberapa pemain utama dikatakan bakal berhijrah selepas ini. " Selain Shakir Ali (Negeri Sembilan), kami juga bercadang memburu khidmat beberapa pemain Harimau Muda yang dilepaskan pasukan itu musim depan," katanya. 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemain-pemain Harimau Muda berkenaan. Kelantan akan turun ke padang esok dengan reputasi hebat sebagai juara (Utusan online-sukan tempatan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 1606 hrs on October 17,2013.

No comments: