Thursday, October 31, 2013

Kes Alvin: Pihak pendakwa sangkal Umno perbesarkan isu

Oleh MARZITA ABDULLAH 

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pihak pendakwaan terhadap pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee menyangkal kenyataan pasangan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kesalahan yang mereka lakukan telah diperbesar-besarkan oleh ahli politik UMNO selain mendakwa umat Islam di negara ini emosi berlebihan terhadap perkara yang mereka lakukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sebaliknya menegaskan, pertuduhan terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu peruntukan undang-undang yang bukan dikhaskan untuk umat Islam di negara ini sahaja tetapi kepada semua kaum untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk.

"Saya tidak fikir umat Islam terlalu emosi atau terlalu sensitif dan isu ini ada kaitan dengan politik UMNO kerana 99 peratus pihak yang mengutuk tindakan pasangan ini juga adalah daripada bangsa mereka sendiri," tegas beliau dalam hujahan balas terhadap pasangan tersebut.

Wan Shaharuddin mengemukakan hujahan balas di hadapan Hakim Kamardin Hashim semasa membantah permohonan pasangan kontroversi berkenaan bagi membatalkan pertuduhan mengikut seksyen itu atas dakwaan mempersendakan umat Islam.

Hakim Kamardin kemudian menetapkan 14 November ini untuk keputusan bagi permohonan tersebut. Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu penerbitan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!)" mengandungi logo halal dan ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan didakwa dilakukan mereka di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mengikut seksyen itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE-MAHKAMAH ( Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at1751 hrs on October 31,2013).

No comments: