Tuesday, October 8, 2013

Najib sahkan TPPA ke Parlimen


PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyambut ketibaan Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis Santapan Malam sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di Nusa Dua, Bali, Indonesia, semalam. Turut hadir isteri Presiden Indonesia itu, Ibu Ani Yudhoyono (kanan). - BERNAMA NUSA DUA

(BALI) 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan komitmen kerajaan untuk mendapatkan mandat Parlimen terlebih dahulu sebelum memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). 

Perdana Menteri juga mengulangi bahawa tiada tekanan untuk Malaysia menandatangani perjanjian itu pada hujung tahun ini memandangkan terdapat beberapa perkara yang memerlukan lebih penelitian khususnya yang menyentuh soal hak-hak kedaulatan negara.

“Proses rundingan adalah satu hal lain. Pada masa sama, kita (Malaysia) sudah komited untuk membawa TPPA ke Parlimen.

“Kita perlu memahaminya terlebih dahulu. Sesudah itu barulah mudah untuk kerajaan membuat pertimbangan (sama ada untuk menandatangani perjanjian TPPA atau sebaliknya)," katanya pada sesi dialog ke-10 bertemakan Melabur Untuk Ekonomi Berdaya Tahan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di sini.

Najib dan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto menjadi ahli panel pada sesi dialog itu yang dikendalikan oleh Editor Kanan Bloomberg Businessweek, Diane Brady.

Menjawab soalan Brady berhubung tempoh yang tinggal hanya dua bulan sebelum akhir tahun untuk 12 negara yang menyertai rundingan TPPA menandatangani perjanjian itu, kedua-dua pemimpin menegaskan tidak ada had masa yang ditetapkan untuk memuktamadkannya.

“Apabila melihat lebih mendalam dalam bidang harta intelek, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, inilah yang rumitnya.

Kerana itu kami meminta supaya diberi fleksibiliti. “Kunci utamanya adalah fleksibiliti. Saya bersetuju dengan Presiden Mexico bahawa tidak patut ada had masa tertentu untuk memuktamadkan perjanjian," tegas Najib. Pena Nieto bagaimanapun berkata, menjadi harapan negara anggota termasuk Mexico untuk mencapai persetujuan dan kesepakatan dalam perkara-perkara yang dirundingkan di bawah perjanjian itu.

TPPA menjadi isu yang cukup kontroversi sejak idea pembentukannya yang ketika itu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Ekonomi Trans-Pasifik atau P4 bermatlamat meliberalisasi ekonomi rantau Asia Pasifik digerakkan oleh Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura pada 2005.

Sejak 2010, rundingan tersebut diperluaskan menjadi perjanjian perdagangan bebas meliputi beberapa negara lain yang sehingga kini berjumlah 12 anggota.

Negara lain yang turut menyertai rundingan TPPA selain Malaysia dan Mexico ialah Australia, Kanada, Jepun, Peru, Vietnam dan Amerika Syarikat. Esok, Najib akan menghadiri mesyuarat TPPA yang diadakan di luar Sidang Kemuncak APEC 2013 di sini.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, John Key. - UTUSAN ONLINE( Posated bya abnmulya /Bakar Ninggal.Blogspot.com.at 2021 hrs on October 08,2013.

No comments: