Tuesday, October 8, 2013

Tony Pua digesa mohon maaf secara terbuka

PUTRAJAYA 7 Okt. - Ketua Publisiti DAP, Tony Pua didesak memohon maaf secara terbuka kerana bersikap biadab menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Utusan Malaysia sebagai 'anjing UMNO' ekoran isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu baru-baru ini.

Ketua UMNO Cawangan Bunga Ixora, Putrajaya, Zarina Ismail berkata, tindakan kurang ajar itu bukan sahaja mencalar imej kakitangan kerajaan dan media malah memberi kesan kepada UMNO yang langsung tidak terlibat dalam isu pemilihan CEC DAP itu.

"Jika beliau tidak meminta maaf kita tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya di sini hari ini.

Sebanyak lapan laporan polis dibuat terhadap Ketua Publisiti DAP itu yang mana enam daripadanya oleh wakil cawangan UMNO Putrajaya manakala dua laporan lagi masing-masing oleh Kelab Belia Komuniti Putrajaya dan Koperasi Jaringan Komersial Melayu Putrajaya. 

Tony Pua dalam laman Facebooknya baru-baru ini menggelar ROS dan Utusan Malaysia sebagai 'anjing UMNO' selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula CEC berikutan pelbagai pihak mempertikai kewibawaan proses pemilihan CEC pertama pada 15 Disember lalu.

Menurut Zarina, dalam isu pemilihan CEC DAP bukan ahli UMNO yang membuat desakan pemilihan semula diadakan sebaliknya ahli mereka sendiri yang membuat laporan kepada ROS dengan mendedahkan pelbagai bentuk penyelewengan.

 Dalam pada itu, beliau berkata, laporan polis itu diharap menjadi motivasi kepada ahli UMNO di seluruh negara untuk membuat perkara sama bagi mendesak Tony Pua memohon maaf kepada semua pihak terlibat.(Utusan online-politik).Posted bya abnmulya/ Bakar Ningga.blogspot.com.at 2011 hrs on October 08,2013.      

No comments: