Penasihat Majlis Agama Islam Johor,Datuk Nooh Gadut |
Dalam nada tegas, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, tindakan mempertikaikan keputusan itu oleh umat Islam sendiri juga mencerminkan akidah dan syariat mereka sesat serta keji dari segi akhlak.
Namun, katanya, kafir dan murtad seseorang itu jatuh sekiranya mereka mempertikaikan dalam keadaan sengaja dan waras.
''Kalau takdirnya yang mempertikaikan itu umat Islam, mereka boleh menjadi kafir dan murtad sekiranya (kenyataan mempertikaikan) itu dilakukan dengan sengaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald. Nooh menambah, mempertikaikan keputusan itu juga seolah-olah mempersoalkan apa yang termaktub dalam kitab suci al-Quran iaitu Allah hanya untuk orang Islam.
Sehubungan itu, beliau menasihati seseorang yang beragama Islam dan terpesong dengan mempertikaikan keputusan tersebut supaya segera bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.
''Kalau jatuh murtad, gugurlah amalan mereka di dunia dan akhirat. Segala amalan kebaikan tidak akan diterima. ''Oleh itu, mereka wajib segera bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah dan berjanji tidak akan mengulangi dosa itu lagi," katanya.
Mengulas lanjut, Nooh berkata, beliau telah menjangka keputusan tersebut akan menyebelahi umat Islam kerana faktor agama Islam meletakkan Allah SWT sebagai tuhan yang satu.
Beliau turut menasihati semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi memastikan keamanan dan ketenteraman kaum serta agama di negara ini terus stabil.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad turut melahirkan kerisauan mengenai sikap segelintir umat Islam yang mempertikaikan keputusan mahkamah tersebut.
Katanya, perkara itu dilihat merbahaya kerana dikhuatiri golongan terbabit menjadi ejen kepada kehendak pihak-pihak berkepentingan.
''Umat Islam atau bukan Islam diminta berhenti mempertikaikan perkara itu kerana ia boleh menyemarak atau mempolemikkan isu tersebut," katanya( Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 12.54 am on October 16,2013.
No comments:
Post a Comment