Monday, October 28, 2013

PRK Sungai Limau: PAS patut lebih bertanggung jawab

Menteri Besar Kedah,
Datuk Mukhriz Tun Mahathir
JERAI 28 Okt. - Pemimpin Pas sepatutnya memperlihatkan sikap lebih bertanggungjawab dengan tidak begitu mudah menggunakan alasan "tidak dimaklumkan" atau "tidak tahu" atas sesuatu isu yang timbul.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahahthir berkata, sebagai pemimpin sebuah parti, mereka perlu mengambil tanggungjawab dalam semua urusan apatah lagi semasa pilihan raya.

Katanya, beliau bimbang perkara itu menjadi trend dalam kalangan pemimpin Pas Kedah dengan sentiasa berdalih apabila sesuatu tindakan itu didapati salah.

''Kalau kita hendak menjadi pemimpin, sebaiknya jangan menggunakan alasan saya tidak tahu atau saya tidak dimaklumkan. Nampak macam satu trend.

''Sebagai contoh, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, apabila kerajaan negeri memberi penjelasan panjang lebar mengenai isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin), mereka kata kami tidak tahu pun,'' katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengubahsuaian gambar menggunakan teknik pertindihan dalam risalah mengenai
biodata, latar belakang dan visi calon Pas, Mohd. Azam Abd. Samat bersama Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

Mukhriz berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana ia seolah-olah satu penghinaan kepada pengundi di DUN Sungai Limau bahawa mereka tidak boleh membuat penilaian bijaksana untuk memilih wakil rakyat sehingga memanipulasi gambar bagi tujuan meyakinkan mereka dan meyokong hujah kononnya calon Pas mempunyai hubungan baik dengan Allahyarham Azizan.

Katanya, biarlah rakyat membuat keputusan dengan menilai keupayaan kedua-dua calon parti yang bertanding dari segi penampilan, kekuatan dan visi mereka sepanjang tempoh berkempen. - UTUSAN ONLINE-POLITIK (Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.Blogspot.com at 2214 hrs on October 28,2013).

No comments: