Saturday, December 21, 2013

43 EMAS TUTUP SAINGAN



Sebanyak 43 pinggat emas dimenangai oleh kontijen Malaysia pada Sukan SEA di Myanmar 2013.
NAY PYI TAW - Jumlah 40 pingat emas yang menjadi sasaran Malaysia akhirnya tercapai pada hari terakhir kontinjen negara beraksi pada Sukan SEA Myanmar 2013 dengan tambahan lima pingat emas berjaya dimenangi, semalam.

Ia menjadikan emas keseluruhan yang dimenangi kontinjen negara adalah 43 pingat, melebihi tiga daripada yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan di samping 38 perak dan 74 gangsa.

Namun, kejayaan di Myanmar itu gagal memperbaiki pencapaian pada edisi 2011 di Indonesia apabila Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan keempat keseluruhan dengan meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa.

Prestasi di Myanmar itu juga tidak mampu mengubah kedudukan kontinjen negara di tangga kelima pungutan pingat keseluruhan. Semalam, pasukan hoki lelaki tidak berdepan masalah membenam Singapura 5-0 pada perlawanan akhir untuk memungut emas.

Dua lagi emas hadir daripada acara terjun melalui gandingan Ooi Tze Liang-Muhammad Nazreen Abdullah dalam acara 10 meter platform seirama lelaki, manakala Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri dalam 10 meter platform seirama wanita.

Namun, paling mencuri tumpuan adalah dua emas yang berjaya dimenangi oleh sukan muay apabila dua wakil negara yang berentap di perlawanan akhir tidak mengecewakan harapan negara.

Mohd. Lokman Akimi Mat Roji unggul dalam acara Bawah 51 kilogram lelaki apabila mudah mengalahkan Nguyen Ngo Trieu Nhat dengan keputusan 3-0 manakala Mohd. Faizal Ramli mendiamkan sorakan penonton tuan rumah dengan kemenangan 2-1 ke atas Aung Myint Win dari Myanmar.

Kejayaan itu melebihi sasaran satu pingat emas yang telah diletakkan kepada sukan muay sebelum ini. Bagi Sukan SEA kali ini, karate boleh ditakrifkan sebagai kontinjen paling cemerlang apabila berjaya memenangi tujuh pingat emas, jauh melebihi sasaran tiga pingat yang diletakkan di peringkat awal.

Kehebatan mendadak beberapa kumite wanita jelas menjadi punca kepada kejayaan tidak diduga karate yang kini mendapat bimbingan Andris Vasiljevs dari Latvia.

Lapan emas daripada sukan terjun sememangnya sudah dijangka kerana jurang perbezaan kualiti antara penerjun negara dibandingkan dengan negara-negara lain di benua Asia Tenggara.

Satu lagi sukan yang menjadi penyelamat kepada pencapaian atlet negara di Sukan SEA Myanmar adalah ekuestrian yang sebelum ini tidak diberikan harapan akhirnya menyumbang tiga emas.

Namun, kekecewaan paling besar tertumpu kepada skuad bola sepak negara yang gagal mempertahankan ibu pingat emas.

Bertambah perit, mereka pulang tangan kosong apabila kalah lagi kepada pasukan jiran, Singapura 1-2 pada penentuan gangsa.

Seperti diramal, olahraga gagal mencapai sasaran apabila hanya menyumbang empat emas berbanding lima yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Begitu juga Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang begitu yakin mampu membawa pulang tiga butir emas, akhirnya pulang tangan kosong.

Memanah recurve lelaki pula menyumbang dua emas sementara acara compound gagal memberi cabaran. Sepak takraw lelaki walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran memenangi emas, sebaliknya menang perak tetapi kekalahan dalam semua perlawanan bagi acara berpasukan, dianggap sebagai satu pencapaian terburuk dalam sejarah. - (Mingguna Malaysia-sukan tempatan).Posted by abnmulkyta /Bakar Ningal.blogspot.com.at 11400 hrs on Disember 22,2013.

No comments: