Monday, December 23, 2013

Orang ramai marah,bantah



Oleh NORHIDAYU MOHD HASSAN dan 
SITI ROHAIZAH ZAINAL pengarang@utusan.com.my 

Muhammad Faizal Sufar (enam dari kiri, baju putih) bersama beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan dari Pandan selepas membuat laporan polis di IPD Ampang Jaya membantah Himpunan Guling Kerajaan yang bakal diadakan pada 31 Disember ini di Dataran Merdeka. 

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Tindakan pihak tertentu merancang mengadakan Himpunan Guling Kerajaan menimbulkan kemarahan orang ramai dengan sebanyak 28 laporan polis dibuat di seluruh negara sejak dua minggu lalu sehingga semalam, bagi membantah penganjuran perhimpunan itu pada 31 Disember ini.

Dalam laporan dibuat, mereka turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghasut rakyat selain menyifatkan perhimpunan jalanan bukanlah cara terbaik untuk menegakkan proses demokrasi.

Kesemua laporan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk individu persendirian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik itu turut dijangka meningkat berdasarkan perkembangan semasa.

Sementara itu, menurut sumber, polis sedang memantau perkembangan semasa penglibatan beberapa kumpulan yang dilihat aktif dengan mempromosikan perhimpunan tersebut baik di kawasan umum serta di laman sosial.

"Malah terdapat tiga perhimpunan kecil telah dilakukan di sekitar ibu negara termasuk di pusat Beli-belah Sogo dan Mid Valley yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti, kumpulan Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta beberapa lagi yang dikesan turut mengedarkan risalah berhubung kenaikan harga barang.

"Sokongan yang diberikan dilihat tidak menggalakkan dan keadaan masih terkawal. Setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 13 NGO di Ampang membuat laporan polis bagi menggesa PDRM mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu terlibat secara langsung atau tidak dengan penganjuran Himpunan Guling Kerajaan.

Jurucakap kumpulan itu, Muhammad Faizal Sufar berkata, pihaknya menolak tindakan penganjur yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab itu kerana perhimpunan tersebut boleh memberi impak negatif dan menyebabkan negara menjadi huru-hara dan mengancam keselamatan orang ramai.

"Kerajaan sedia ada pada hari ini adalah pilihan rakyat dan dipilih menerusi sistem demokrasi berparlimen serta mengamalkan prinsip Rukun Negara.

"Sebarang bentuk rampasan kuasa secara jalanan akan meruntuhkan keharmonian dan menimbulkan huru-hara kepada tanah air," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dekat sini hari ini.

Antara gabungan NGO yang membuat laporan itu adalah Akademi Pemuda Pandan; Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Teratai; KRT Taman Pandan Indah Kencana; Persatuan Belia dan Beliawanis Pandan dan Kelab Generasi Muda Pandan.

Turut membuat laporan polis adalah KRT Taman Saga; Pemuda Cawangan Taman Dagang; KRT Taman Dagang; Kelab Transformasi Pemikir Pandan; Pertubuhan Seni Beladiri Jamiah Al-Sidrah; Bomba Sukarela Taman Dagang dan Jiran Muda Taman Dagang.

Menurut Muhammad Faizal, pihaknya juga meminta supaya polis menyiasat penganjur dan peserta perhimpunan tersebut yang cuba menyebarkan pengaruh negatif kepada masyarakat.

"Individu seperti penulis blog dan pengguna media sosial yang mempromosikan perhimpunan berkenaan juga perlu diambil tindakan kerana secara tidak langsung mengajak orang ramai mengikuti perhimpunan tersebut," katanya.

Pada 18 Disember lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan penyebaran poster yang mengajak orang ramai supaya menyertai Himpunan Guling Kerajaan merupakan satu bentuk ancaman keselamatan dan keharmonian rakyat negara ini dan boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)

(Utuisan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 8.31 am on Disember 24,2013.

No comments: