Saturday, December 21, 2013

Tidak sabar,pemandu lori longgok sampah di tepi jalan

Alam Flora dan DBKL terpaksa membersihkan sampah yang dilonggokkan di tepi jalan oleh segelintir pemandu lori sampah di Kepong, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/AZLAN HADI ABU BAKAR 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Gara-gara tidak sabar menunggu giliran, segelintir pemandu lori sanggup melonggokkan sampah yang diangkut untuk dihantar ke sebuah pusat pengumpulan di satu laluan dari Batu Caves menuju Kepong hari ini.

Menurut sumber, tindakan pemandu lori melonggokkan sampah di tepi jalan raya berpunca kerosakan mekanikal salah sebuah mesin pemampatan sampah di pusat tersebut.

"Pemandu yang tidak sabar menunggu terlalu lama untuk membawa sampah ke pusat pengumpulan sampah tersebut di Taman Beringin, Kepong telah mengambil keputusan melonggokkan sampah sejak tengah malam semalam.

"Tindakan mereka menyebabkan satu lorong jalan raya terpaksa ditutup di hadapan pusat pengumpulan berkenaan mengakibatkan kesesakan jalan raya sehingga beberapa kilometer," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Hayati Abdullah yang kesal dengan kejadian tersebut berkata, pihaknya sudah menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah yang dibuang di tepi jalan raya berkenaan.

"DBKL dan Alam Flora telah melakukan kerja-kerja pembersihan bermula kira-kira pukul 8 pagi dan selesai pada pukul 5 petang ini merangkumi proses mengangkut dan mencuci jalan menggunakan semburan air. 

"Bagi mengelakkan kejadian ini berulang, pihak DBKL dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara akan meletakkan beberapa penguat kuasa memantau keadaan di situ," katanya.( Utusan online-dalam negeri0.Posted by abnmulya /Bakar Ningal.blogspot.com.at 1432 hrs on Disember 22,2013.

No comments: