Saturday, December 21, 2013

Pandelela tidak dicabar

Aksi penerjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat emas dalam acara 10 meter Platfom individu wanita di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, semalam. 

NAY PYI TAW - Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong menyifatkan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA Myanmar memberi makna yang cukup besar, setelah mempertahankan kemenangannya di Indonesia, dua tahun lalu menerusi acara kegemaran 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, semalam.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengumpul 346.60 mata bagi membolehkannya merangkul emas, sementara rakan senegara, Loh Zhiayi meraih perak (292.10 mata) bagi melengkapkan dominasi Malaysia dalam acara itu dan wakil tuan rumah, Nandar Saw Hla (233.15 mata) memenangi pingat gangsa.

"Bagi saya, kejayaan meraih pingat emas di Sukan SEA masih memberi makna yang besar untuk saya. Ini merupakan pertandingan dan anda tidak boleh membuka ruang untuk melakukan kesilapan. Saya masih perlu mempamerkan prestasi terbaik untuk memastikan emas dalam genggaman.

"Mungkin anda tidak menyedari ini merupakan pingat emas pertama saya tahun ini. Saya rasa persembahan saya hari ini (semalam) berada ditahap yang baik, tetapi sudah tentu saya mampu memberikan lebih daripada itu," kata Pandelela ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Malah, pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu lebih selesa bersikap merendah diri apabila dia dikatakan terlalu handal untuk menyertai pertandingan bertaraf serantau itu.

"Tidak semestinya saya tidak memiliki pencabar di sini kerana perlu diingat junior saya, Zhiayi masih mampu memberikan saingan kepada saya. Saya juga perlu menjadi pencabar kepada diri sendiri.

"Setiap kali saya bertanding, saya sentiasa memastikan untuk cuba mengatasi catatan rekod saya sendiri ," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Ooi Tze Liang yang sekadar merangkul perak, kelmarin dalam acara 10 meter platform individu lelaki, berjaya bangkit untuk memenangi emas melalui acara 3 meter papan anjal, semalam.

Atlet berusia 20 tahun itu berjaya mempertahankan emas yang dimenangi Yeoh Ken Nee di Palembang, apabila mengumpul 431.90 mata tanpa diberi saingan sengit oleh pencabar lain.

Rakan senegara, Chew Yi Wei yang berada di kedudukan pendahulu sewaktu menyempurnakan terjunan pertama, tetapi gagal kekal konsisten apabila sekadar meraih pingat gangsa setelah memungut 314.20 mata.

Penerjun Singapura, Mark Lee berjaya memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Yi Wei untuk memintasnya dengan menamatkan saingan di tangga kedua setelah mencatat 324.15 mata.

"Pencapaian Malaysia pada Sukan SEA dalam acara terjun memang cemerlang. Jadi, saya agak tertekan bagi mengekalkan rekod itu. "Persembahan saya tidak menjadi semalam (kelmarin). Tetapi, hari ini saya berjaya menenangkan diri dan ia membantu saya raih emas," kata Tze Liang.(Utusan online-sukan tempatan.Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.aat 1425 hrs on Disember 22,2013.

No comments: