Tuesday, December 31, 2013

Sambutan di Dataran Merdeka tercemar

PESERTA perhimpunan haram merempuh halangan pasukan keselamatan berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka tercemar apabila kira-kira 5,000 peserta Himpunan Guling Kerajaan bertindak ganas merempuh penghadang polis untuk merampas pentas utama sehingga penganjur terpaksa membatalkan acara tersebut kira-kira 30 minit menjelang detik 12 tengah malam.

Peserta perhimpunan itu menyerbu masuk ke pentas konsert dari segenap sudut dengan menjeritkan perkataan 'reformasi' dan 'turun' serta berkumpul di hadapan pentas.

Berikutan keadaan itu juga pertunjukan bunga api yang menjadi tradisi setiap kali sambutan dan dinanti-nantikan oleh orang ramai terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.

Acara tersebut dibatalkan setelah para peserta perhimpunan haram itu membaling objek ke arah pentas utama ketika pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persembahan. 

Mereka juga bertindak biadab dengan menghamburkan kata-kata kesat dan memaki hamun kerajaan. Rentetan daripada itu, ribuan lagi pengunjung yang hadir untuk meraikan tahun baharu terpaksa beredar pulang kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Kumpulan berkenaan bukan setakat membawa sepanduk membenci kerajaan malah membaling botol kepada orang ramai.

Pengumuman pembatalan konsert itu dibuat oleh pengacara majlis semasa persembahan orkestra ekoran keadaan sesak akibat peserta himpunan merempuh masuk.

Antara artis yang sempat buat persembahan sebelum konsert dibatalkan adalah Amy Search, Zainal Abidin, Jay Jay, Aweera dan Najwa Latif.

Sebaik sahaja konsert itu dibatalkan, tempat duduk orang kenamaan turut menjadi kosong dan pihak polis membuat barisan mengawal pentas utama konsert. Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengambil alih pentas dan berucap menyeru orang ramai di Dataran Merdeka untuk menjaga ketenteraman awam.

"Saya berharap ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak dan adik-adik kita di sini. "Jangan terpengaruh dengan emosi, nama pun kita ini orang Islam, mesti ada kesabaran," katanya yang berucap dengan tenang walaupun dimaki hamun oleh peserta Himpunan Guling Kerajaan itu.(Utusan online-Dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.40 am on January 01,2014.

No comments: