Tuesday, December 31, 2013

JANGAN TERMAKAN HASUTAN POLITIK PEMBANGKANG

Oleh ZULKIFLEE BAKAR 
pengarang@utusan.com.my 

ALHAMDULILLAH, hari ini kita berpeluang untuk menyaksikan fajar 1 Januari 2014 menyingsing di ufuk timur.

Sememangnya berbanding sesetengah negara, rakyat negara ini jauh lebih bertuah apabila mampu meneruskan kehidupan pada tahun baharu dengan penuh harmoni, aman dan damai.

Tiga faktor ini amat penting dalam usaha kita memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020.

Sebab itulah keharmonian kaum, keamanan negara dan kedamaian hidup yang kita kecapi sekarang tidak harus dipersia-siakan atau dikorbankan hanya demi memenuhi tuntutan nafsu politik mana-mana pihak.

Kita memahami rakyat semakin mengeluh kerana tahun 2014 dikatakan bakal menyaksikan kenaikan kos sara hidup, sehingga ada pihak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini.

Namun begitu, kita juga harus memberi peluang kepada kerajaan untuk menangani isu ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah termakan dengan hasutan, janganlah terpedaya dengan tohmahan dan janganlah terperangkap dengan dakyah puak pembangkang.

Apa yang mereka lakukan bukanlah bertujuan untuk membela nasib rakyat tetapi hanya semata-mata bagi tujuan politik.

Dalam kata mudah, apa sahaja yang dilihat mampu membuka ruang untuk mereka meraih sokongan politik, maka ia akan cepat-cepat disambar.

Dalam soal ini, rakyat tidak harus membiarkan tahun 2014 menjadi pentas kepada pakatan pembangkang untuk mempolitikkan segala isu sehingga ia menggugat keharmonian, keamanan dan kedamaian rakyat serta negara ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah sebuah kerajaan 'yang pekak atau buta' dalam menilai kesusahan rakyat, malah selama ini sejarah sudah membuktikan kerajaan itulah yang paling ke hadapan membela nasib rakyat.

Justeru, janganlah kerana terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang secara jelas menyembunyikan fakta sebenar berhubung sesuatu langkah yang dilakukan oleh kerajaan.

Percayalah apa pun yang dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan rakyat tidak akan mendapat pujian pembangkang.

Bagi pembangkang, kalau kerajaan dipuji oleh rakyat maka ia seolah-olah satu bencana politik kepada mereka.

Kalaulah benar, pembangkang boleh menjadikan kerajaan yang jauh lebih baik daripada kerajaan BN laksanakan usaha di negeri-negeri yang mereka perintah untuk kesejahteraan rakyat.

Potong sahaja gaji dan elaun Menteri Besar atau Ketua Menteri, kurangkan segala kemudahan yang dinikmati oleh pemimpin mereka bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri supaya wang tersebut boleh disalurkan rakyat.

Tetapi apa yang kita saksikan keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya yang pasti gaji Menteri Besar dan exco-exco dinaikkan beratus kali ganda, tiada kemudahan yang dipotong atau dikurangkan.

Semua ini membuktikan bahawa pembangkang hanya bijak bercakap, pandai menuding jari tetapi 'bebal' untuk melaksanakan apa yang dikata.

Atas sebab itulah, rakyat tidak harus terpedaya dengan taktik kotor pembangkang dalam mencapai cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya.

Percayalah, permainan politik pembangkang tidak akan berhenti, sandiwara mereka tidak akan ada noktahnya dan keghairahan untuk mencapai cita-cita politik tidak pernah berakhir.

Dalam berhadapan dengan kelicikan politik pembangkang ini, rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu bijak menilai antara fakta dan auta, antara kebenaran dan tohmahan.

Ingatlah apabila sekali kita mempertaruhkan keharmonian, keamanan dan kedamaian rakyat serta negara ini akibat terperangkap dengan mainan politik pembangkang maka kita ibarat menjemput petaka.

Oleh itu, berfikirlah dengan matang dan bertindaklah dengan bijak dalam kita melangkah masuk ke tahun 2014 ini.

Negara ini mengamalkan demokrasi, rakyat bebasnya bersuara dan dibenarkan untuk berhimpun malah mereka juga diberi peluang bagi memilih kerajaan.

Tetapi demokrasi itu bukanlah bermakna rakyat berhak melakukan apa sahaja, kebebasan yang dinikmati bukanlah kebebasan mutlak dan kebenaran bersuara bukanlah tiada hadnya.

Semuanya itu mesti dikawal dengan sebaik-baiknya apatah lagi dalam sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Jadikanlah 2014 sebagai tahun untuk kita lebih bijak menilai, matang bertindak dan paling penting menjadi rakyat yang tahu menghargai keharmonian, keamanan dan kedamaian yang dikecapi.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.20 am on January 01,2014.

No comments: