Friday, March 21, 2014

Kumpulan pro-Rusia rampas kapal perang Ukraine

SEVASTOPOL 21 Mac - Kira-kira 20 lelaki bersenjata dipercayai anggota kumpulan pro-Rusia merampas sebuah kapal perang Ukraine, Ternopil di pelabuhan Sevastopol di Crimea.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine, Vladislav Seleznyov dalam laman sosial Facebooknya mendakwa, kumpulan bersenjata itu yang disokong tentera Rusia pada mulanya menutup kawasan pelabuhan sebelum melancarkan serangan dengan menaiki bot untuk menawan kapal perang Ukraine.

Jelasnya, bom tangan digunakan dalam serangan itu dan bunyi tembakan senapang automatik turut kedengaran.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu. Sementara itu, nasib sebuah lagi kapal perang Ukraine, Slavutich yang berlabuh bersebelahan Ternopil, masih belum dapat dipastikan, sama ada telah turut ditawan tentera pro-Rusia.

Agensi berita AFP melaporkan, pegawai tentera yang berada di atas kapal Slavutich tidak menjawab panggilan apabila dihubungi selepas kejadian.

Dua kapal perang itu telah dihalang meninggalkan pelabuhan oleh tentera laut Rusia dan diletakkan jauh dari limbungan bagi mengelakkan diserang.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu memberi jaminan kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Chuck Hagel bahawa tentera Rusia yang dikerah ke sempadan timur Ukraine tidak akan menceroboh negara tersebut.

Shoigu berkata, tentera Rusia yang dikerah ke lokasi itu hanya menjalankan latihan dan mereka tidak akan melintasi sempadan serta bertindak agresif. - REUTERS/AFP (Utuisan online-Luar Negara).Posted by abnmulya.blogspot.com.at 3.35 am on March 22,2014.

No comments: