Monday, March 31, 2014

Tidak temui bukti aktiviti keganasan-Penyiasat

Sebahagian anak kapal Royal New Zealand Air Force P3 Orion mendengar taklimat sebelum berlepas ke kawasan pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Udara Pearce, Perth, Australia, semalam. - AFP 

WASHINGTON 31 Mac - Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan, penyiasat tidak menemui sebarang bukti setakat ini bagi menunjukkan aktiviti keganasan merupakan punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 kira-kira tiga minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Risikan Dewan Perwakilan, Mike Rogers dan Pengerusi Jawatankuasa Risikan Dewan Senat, Dianne Feinstein berkata, mereka tidak melihat sebarang bukti menjurus kepada perbuatan khianat.

"Berdasarkan hasil siasatan, saya dapat menyimpulkan ia merupakan satu penerbangan biasa di mana berlaku sesuatu dan kesilapan," kata Rogers kepada rancangan temu bual Fox News Sunday.

Pegawai AS yang rapat dengan siasatan tersebut pada minggu lepas menyatakan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memeriksa data daripada simulator penerbangan dan peralatan komputer lain digunakan oleh juruterbang MH370 namun tidak menemui apa-apa.

Rogers berkata, penyiasat AS akan menjalankan analisis forensik terperinci ke atas peralatan komputer ketika mereka meneruskan siasatan ke atas anak kapal dan penumpang pesawat tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran tindakan itu akan memakan masa yang panjang.

"Kita perlu bersabar... Hanya satu cara untuk mengetahui apa yang berlaku iaitu dengan menemukan bangkai pesawat dalam keadaan sebaik mungkin atau sempurna supaya siasatan forensik boleh dilakukan," katanya.

Feinstein turut mengemukakan pandangan sama dalam rancangan State of the Union terbitan CNN.

Apabila ditanya sama ada beliau menerima imej satelit yang mempunyai resolusi lebih tinggi berbanding yang didedahkan, Feinstein berkata, dia tidak melihatnya.

Beliau berkata, pegawai perisikan mungkin tidak mempunyai data tambahan untuk menawarkan kepada kerajaan Malaysia bagi membantu dalam usaha mencari MH370.

"Anda perlu faham bahawa perisikan AS tidak bersedia untuk memantau kemalangan pesawat. Ia bukan tanggungjawab kami. Tugas kami melibatkan keganasan dan pertahanan peluru berpandu dan keadaan seumpamanya," ujarnya. - REUTERS (Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya .blogspot.com. at 10.20 am on April 01,2014.

No comments: