Monday, March 31, 2014

Misi menyelamat paling sukar di dunia--Pakar

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pakar misi menyelamat lautan dalam hari ini memberi amaran bahawa operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi iaitu perairan paling dalam dan bergelora di dunia akan menempuhi pelbagai cabaran.

David Mearns, pemilik Blue Water Recoveries iaitu firma penyelamat kapal karam paling berpengalaman di dunia dari West Sussex, England menggambarkan misi untuk menemui sebarang serpihan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu adalah amat sukar.

Beliau berkata, dasar laut sepanjang 1,800 kilometer dari Perth, Australia yang tidak dipetakan secara terperinci akan menyukarkan kebanyakan sistem menyelamat untuk menemukan sebarang serpihan Boeing 777 itu yang dipercayai tenggelam.

"Hanya sesetengah sistem mempunyai teknologi untuk pencarian sebesar kawasan itu dan hanya sebahagian kecil syarikat mempunyai kepakaran serta peralatan sesuai dalam pasukan mereka untuk melakukan misi ini," katanya seperti dilaporkan The Independent hari ini.

Mearns menjelaskan, kemungkinan MH370 berada dalam sebuah 'kotak' pencarian yang meliputi keluasan ratusan batu nautika menjadikannya kotak pencarian paling besar dalam sejarah operasi mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini.

Beliau berkata, pencarian tersebut akan memakan masa berbulan-bulan dan mungkin mencecah bertahun-tahun.

"Mereka perlu meliputi semua kawasan jarak pesawat kemungkinan berada termasuk di dasar laut. Mungkin ada kalanya semua ini bergantung kepada nasib dan kesediaan peralatan yang digunakan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan misi itu akan menjadi operasi pencarian paling mahal di dunia memandangkan matlamat jangka panjangnya adalah untuk menyiasat maklumat tentang punca pesawat itu hilang dari radar.

Beliau memberitahu, misi mendapatkan maklumat itu akan memakan masa sehingga dua tahun terutama bagi memuktamadkan segala fakta dan perkiraan.(Utusan opnline-Dalam Negeri).Posted by abnmulya at 10.10am on April 01,2014.

No comments: