Monday, March 31, 2014

SAIFUDDIN YAKIN TEWASKAN AZMIN

Oleh HUSSAINI AMRAN 
hussaini.amran@utusan.com.my 

Datuk Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR 31 Mac - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yakin mampu menewaskan Azmin Ali yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti April ini.

Saifuddin juga tidak akan memberi laluan mudah kepada Azmin kerana beliau menyertai pertandingan merebut jawatan nombor dua PKR itu dengan harapan untuk menang.

Malah, beliau percaya ahli-ahli PKR akan membuat penilaian berdasarkan kepada khidmat yang dicurahkannya sejak dari mula mengasaskan parti sehingga kini.

"Semua ada peluang, 500,000 ahli akan mengundi. Harapan bila masuk bertanding adalah hendak menang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Saifuddin mengulas tentang peluangnya merampas jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang Azmin sejak 2010.
Tan Sri Abd.Khalid Ibrahim

Azmin turut dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Datuk K. Ramachandran dan S. Murali.

Bagaimanapun, Saifuddin menafikan keputusan bertanding itu dibuat berikutan kedudukan Azmin di dalam PKR yang dikatakan agak goyah. 

"Tidak, masing-masing hendak berkhidmat untuk parti," ujarnya. Sementara itu, Tian Chua berkata, hasratnya bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden adalah selaras dengan amalan demokrasi dalam PKR.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut dan berjanji akan memberi penjelasan di dalam blognya esok.(Utusan online-politik).Posted by  abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.01 am on April 01,2014.

No comments: