Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, perkara itu dinyatakan oleh Putin dalam pertemuan dan perbincangan dua hala mereka yang diatur atas permintaan Presiden Rusia itu di sini petang semalam.
Menurutnya, beliau telah menegaskan kepada Putin bahawa tragedi MH17 bukan kemalangan tetapi suatu perbuatan dengan sengaja menjatuhkan pesawat tersebut, oleh itu Malaysia perlu meneruskan usaha penyiasatan untuk mengetahui punca-punca nahas.
“Saya telah meminta beliau membantu Malaysia supaya kita dapat akses ke kawasan nahas. Putin memberitahu, beliau sanggup berbuat demikian dan beliau juga mahu supaya dikenal pasti dan diketahui siapa yang melakukan perkara tersebut.
“Saya juga tegaskan, selagi kita belum dapat jawapan, Malaysia akan teruskan usaha ini demi mendapatkan satu kesimpulan dan memberi kepuasan kepada keluarga yang terlibat dalam nahas atau tragedi MH17 ini,” katanya.
Pada September lalu, Kiev tidak dapat memberi jaminan keselamatan untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas pesawat MH17. Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk dalam pertemuan dengan Najib di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.
Yatsenyuk memaklumkan, tembakan dan letupan masih berterusan di timur Ukraine walaupun perjanjian gencatan senjata dengan pasukan pemisah dilaksanakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri menyatakan kebimbangan mengenai mayat-mayat penumpang dan anak kapal MH17 yang masih belum dituntut di lokasi nahas serta bukti-bukti forensik.
Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
Sementara itu, Najib berkata, dalam pertemuan itu, Putin mengharapkan kerjasama Petronas di Rusia dalam bidang cari gali minyak dan gas manakala beliau pula men­yatakan permintaan kepada Presiden Rusia itu untuk membantu meningkatkan jumlah pelancong negara itu ke Malaysia.
“Saya beritahu bahawa ramai pelancong dari Rusia melawat Dubai dan Phuket tetapi tidak ramai ke Malaysia. Jadi saya memberitau beliau bahawa kita perlu melakukan sesuatu agar ia boleh ditingkatan, saya yakin bilangannya boleh ditambah dengan jumlah lebih besar.
“Selain itu, kami juga membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang farmaseutikal penggunaan tenaga nuklear. Beliau juga berharap kita terus membeli peralatan pertahanan dari Rusia,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, apa yang menarik dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia ialah nilai perdagangan kedua-dua negara yang melambung 66.6 peratus untuk 2012-2013 manakala dari Januari hingga Julai tahun ini meningkat kira-kira 70 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa prospek mengembangkan perdagangan antara Rusia-Malaysia amat besar,” katanya. – UTUSAN( Utusan online-lUar Negara).Posted by abnmulya  /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.52 am on Nov-12,2014.