Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan lebih banyak pengundi baharu menyertai parti tersebut sekali gus memastikan UMNO terus kekal menjadi parti pemerintah di masa hadapan.
Katanya, pada masa sama usaha lebih giat juga sedang dilakukan bagi mendaftar sebanyak enam juta ahli UMNO sebagai pemilih dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita hendak permudahkan proses pendaftaran ini di mana ada pemohon yang hendak menjadi ahli kita galakkan, pada masa sama sayap-sayap parti seperti Wanita, Puteri dan Pemuda akan diletakkan KPI di peringkat negeri dan bahagian bagi mendaftar ahli baharu.
“Kita serahkan kepada sayap parti di peringkat bahagian dan negeri untuk membantu mendaftarkan ahli baharu kerana mereka lebih kenal penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan hari inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha kementeriannya, Datuk Seri Ibrahim Muhamad.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, parti menerima mana-mana individu untuk me­nyertai parti tersebut dan tidak pernah menghalang mereka menyertai UMNO.
Kata beliau, pihaknya mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk golongan profesional ke dalam parti itu dan akan memastikan kerenah birokrasi dapat dikurangkan.
Mengulas mengenai terdapat ahli UMNO yang tidak mendaftar sebagai pemilih, katanya, situasi itu agak membimbangkan dan memerlukan penyelarasan oleh ibu pejabat parti untuk mengumpul data serta maklumat ahli yang masih belum berbuat demikian.
Dalam pada itu, kata beliau, pihak­nya juga akan menggunakan pendekatan baharu bagi mengga­lakkan lebih banyak orang muda menyertai parti tersebut termasuk dengan mengadakan program jelajah di seluruh negara untuk memberi penerangan secara terperinci.
Pada masa sama, beliau turut memuji beberapa negeri antaranya UMNO Johor yang sangat agresif dan telah berjaya menambah banyak ahli baharu menyertai parti tersebut.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, UMNO sentiasa terbuka dalam menerima pandangan pelbagai pihak bagi memantapkan lagi parti tersebut.
Malah, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menggalakkan orang ramai memberi pandangan dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.15 am on  Nov.,11.2014.