Pengerusi Badan Per­hubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ber­dasarkan laporan sebuah portal berita pada 15 April 2005, Mohamed Hanipa selaku Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Pusat telah mengetuai perhimpunan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi mendesak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan pendaftaran Sis.
Bagaimanapun baru-baru ini, katanya, Mohamed Hanipa membuat kenyataan bersama dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap pertubuhan kontroversi itu.
“Jika dahulu beliau mengetuai perhimpunan aman menggesa kerajaan mengharamkan Sis, mengapa pula sekarang beliau mempertikaikan fatwa Selangor yang telah mengharamkan pergerakan itu.
“Kita tidak berniat mahu mencampuri urusan mahkamah (susul­an tindakan Sis menfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa tersebut). Cuma kita mempersoalkan pendirian sebenar Ahli Parlimen Sepang dalam isu fatwa Selangor terhadap Sis. Apakah tindakan beliau itu dibuat atas kepentingan politik,” katanya di sini hari ini.
Majlis Agama Islam Sela­ngor (MAIS) pada Julai lalu mengisytihar­kan Sis dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Bagaimanapun pada 4 Oktober lalu, Mohamed Hanipa serta Khalid dan Mujahid dalam satu sidang akhbar menyifatkan fatwa MAIS terhadap liberalisme dan plura­lis­me sebagai usaha terburu-buru dan drastik kerana dua perkataan itu tidak ditakrifkan dengan betul.
Sementara itu di Dewan Rakyat, Noh berkata, saranan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali agar Sis bersemuka dengan Mufti Se­langor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid tentang fatwa berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu disifatkan sebagai kurang wajar.(Utusan online-politik). Posted bya abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com. at Nov:11,2014.