06 January 2015 at 1.19 am
Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, kedua-dua parti politik yang mewakili umat Melayu itu harus bersatu untuk membangunkan semula negeri ini yang musnah akibat bah kuning baru-baru ini.
Beliau berkata, kesan daripada banjir besar itu amat buruk dan melibatkan kerugian lebih RM1 bilion.
“Kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan rakyat, mereka juga mempunyai kuasa di peringkat negeri dan Pusat.
“Perpaduan pemimpin di antara kedua-dua parti ini amat diperlukan untuk membangunkan negeri ini dan sudah sampainya kita bersatu padu kerana apa yang berlaku bukan bencana alam biasa tetapi malapetaka yang meruntuhkan semangat rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai saranan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki supaya UMNO dan Pas mengambil langkah berani mengetepikan perbezaan politik bagi membentuk satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bagi merancang pembangunan semula negeri itu selepas bencana banjir.
Jawatankuasa itu boleh dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana menteri kanan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Sheikh Ahmad Dusuki berkata, fokus utama pada masa kini adalah untuk membangunkan semula negeri ini dan semua pihak perlu berhenti berpolitik.
“Kita minta rakyat menghukum mana-mana pemimpin politik yang tidak menyokong referendum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
“Hari ini, kita lihat bantuan tidak henti-henti mencurah masuk ke negeri ini dan ini menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat, apa yang penting ialah pelan bersama di antara Pusat dan negeri ini untuk membangunkan semula Kelantan,” katanya.(Utusan online-) Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 9.38 am on Jan-06,2015.
No comments:
Post a Comment